Berita

Ganti Air Bawah Tanah Sebagai Alternatif Sumber Air Mentah Negara

146views

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang sudah seperti “acara bulanan” kepada lebih satu juta pengguna yang terpaksa menanggung beban dan kesengsaraan apabila terputus bekalan air untuk beberapa hari.

Umpama mimpi ngeri, pencemaran sungai yang acap kali berlaku terus mengundang resah dan bosan rakyat yang mahu tindakan lebih konkrit diambil kerana 90 peratus sumber air mentah negara ini diperoleh dari sumber air sungai atau air permukaan.

Lembangan sungai yang terdedah dengan pencemaran terutama di muka sauk menyebabkan banyak pihak mencadangkan agar kerajaan menggunakan teknologi tinggi bagi merawat air mentah dari sumber lain seperti yang dilakukan di negara-negara Arab dan Singapura.

Negara-negara Arab misalnya menggunakan air laut sebagai sumber air mentah yang diproses menjadi  air minum dan kegunaan harian manakala Singapura, menggunakan air sisa kumbahan yang diproses menjadi air minuman.

Meningkatkan rizab air dengan mencari sumber lain seperti air laut dan air bawah tanah antara pilihan terbaik yang boleh dilakukan bagi menjamin sumber air daripada sebarang krisis dan tidak terlalu bergantung kepada sumber air dari sungai semata-mata.

Pengerusi Malaysia Water Engineers Action Committee (MyWAC) Ishak Hasnan berkata sudah tiba masanya loji rawatan air (LRA) dilengkapi dengan sumber air mentah alternatif yang lebih terjamin bebas daripada pencemaran yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada air sungai.

Sumber air tanah, katanya dilihat sebagai pilihan terbaik kerana kualiti air  bawah tanah yang ada di negara ini berpotensi untuk dieksploitasi dan digunakan sebagai sumber air mentah.

“Negeri Kelantan telah menggunakan 53 peratus air bawah tanah  sebagai sumber air mentah di LRA-nya. Kajian kuantiti, kualiti dan kaedah rawatan yang sesuai ke atas air bawah tanah perlu dicari,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Ini kerana air bawah tanah biasanya mengandungi bahan seperti ferum dan mangan terlarut yang lebih tinggi berbanding air sungai di samping bahan-bahan mineral terlarut lain. Bahan-bahan ini memerlukan kaedah yang khusus untuk mengurangkannya ke paras yang selamat digunakan.

Menjelas lanjut, Ishak berkata sudah terdapat teknologi dari luar untuk merawat air bawah tanah tetapi kosnya agak tinggi dan bagi mengurangkan kos tersebut, teknologi dan kepakaran tempatan perlu dibangunkan.

“Di negara barat mereka memelihara sungai dengan baik tetapi mereka banyak menggunakan air bawah tanah  sebagai sumber air mentah. Denmark menggunakan 99 peratus air bawah tanah sebagai sumber air, Switzerland sebanyak 83 peratus. Ini menyebabkan  mereka tidak terlalu bergantung kepada air permukaan  sebagai sumber air mentah,” katanya.

Sejak September, tiga kali gangguan bekalan air berlaku disebabkan pencemaran sungai dengan yang terbaharu Selasa lepas apabila LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3  serta LRA  Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas setelah pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor, dikatakan berpunca daripada pembuangan sisa dari sebuah premis di Taman Velox, Rawang yang melakukan pelepasan secara haram.

Ishak berkata kadar rizab air yang tinggi perlu disediakan yang meliputi rizab air mentah, rizab kemampuan rawatan loji dan rizab air bersih.

Takat simpanan air bersih yang ada di sebahagian negeri adalah kurang daripada lima peratus atau kurang daripada satu hari keperluan.

“Ini menyebabkan apabila LRA terpaksa dihentikan tugas, gangguan air akan mudah berlaku, Sepatutnya simpanan ini perlu dinaikkan sekurang-kurangnya ke paras 20 peratus. Lebih banyak simpanan lebih baik untuk pengguna,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air Dr Zaki Zainudin berkata kekangan dari segi kos antara isu utama dalam penggunaan teknologi tinggi bagi merawat air yang boleh meningkat  empat kali ganda berbanding kaedah sedia ada.

Kerajaan Negeri Selangor boleh mempertimbangkan untuk menggunakan teknologi termaju dalam merawat air secara bersasar dengan memberi fokus kepada loji-loji yang berisiko tinggi mengalami gangguan disebabkan pencemaran.

Antara loji di Sungai Selangor adalah LRA Rantau Panjang manakala di Sungai Langat pula di LRA Semenyih dan Tampoi.

Bagaimanapun, bagi beliau aspek mencegah lebih baik daripada merawat, dengan pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan mencegah pencemaran daripada berlaku dengan memantapkan lembangan sungai supaya tidak membenarkan industri berisiko tinggi berada di hulu muka sauk.

“Selagi ada industri di hulu muka sauk, akan tetap ada risiko pencemaran dan gangguan air akan terus berlaku,” kata Zaki.

— BERNAMA

Source link