info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Geng Yong tumpas, 30 kes pecah masuk premis selesai

59views

SERDANG, 26 Nov  — ‘Geng Yong’ yang aktif melakukan jenayah pecah premis termasuk kedai serbaneka di sekitar Serdang, Brickfields dan Petaling Jaya, sejak tiga bulan lalu tumpas dengan penahanan empat lelaki tempatan di Seri Kembangan, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata ekoran daripada penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan 30 kes pecah premis, berdasarkan kepada laporan seorang lelaki yang juga pengurus kedai serbaneka yang melaporkan premisnya di Bandar Puteri, Puchong dipecah masuk pada 16 Nov lepas mengakibatkan dua unit laci wang serta wang tunai berjumlah RM2,094 hilang.

“Susulan itu, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan di kediamannya di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada Ahad kira-kira 9 malam.

“Hasil tangkapan itu, polis turut menahan tiga lagi rakan suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Razali berkata polis turut merampas beberapa peralatan pecah rumah, pedang, pisau, dekoder, kamera litar tertutup (CCTV), alat pemain cakera padat, televisyen dan motosikal yang dianggarkan bernilai RM30,000 dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

Katanya, ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Menurut Razali, suspek turut mengaku terlibat dalam kejadian pecah masuk kedai di Petaling Jaya pada 8 Okt, selepas sebuah video memaparkan aksi suspek melakukan kegiatan tersebut tular di media sosial baru-baru ini.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

— BERNAMA

Source link