Genggam ijazah kedoktoran, OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

KAMPAR, 6 Jan (Bernama) — Guru tuisyen, Chow Sak Chin menjadi insan yang paling gembira selepas berjaya menggenggam ijazah kedoktoran pada awal tahun lepas, meskipun berdepan pelbagai kesukaran sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Hilang penglihatan akibat kemalangan pada 1996, beliau bangkit daripada kegelapan untuk menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kampus Tanjung Malim.

Chow, 45, mempunyai harapan menggunung untuk menjadi seorang pensyarah bagi membantu insan sepertinya menimba ilmu pengetahuan dan berjaya dalam kehidupan.

Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu buntu kerana sehingga kini, masih belum menerima sebarang tawaran berkhidmat sebagai pensyarah walaupun banyak permohonan dihantar ke institut pengajian tinggi sejak Jun tahun lepas.

“Saya OKU, jadi saya lebih memahami golongan ini sekiranya dilantik menjadi pensyarah dalam bidang pendidikan khas tetapi malangnya tidak diberikan peluang…banyak panggilan dibuat dan e-mel dihantar kepada pelbagai pejabat dan agensi tetapi tiada respons,” katanya kepada pemberita di sini.

Chow berkata beliau kini meneruskan kerjayanya sebagai guru tuisyen bahasa Inggeris sejak 11 tahun lepas di sebuah pusat tuisyen di sini.

Katanya beliau berupaya mengajar pelajar dengan baik menggunakan teknologi seperti aplikasi pembaca skrin pada komputer dan peralatan untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

“Saya sudah lebih sedekad menjadi guru tuisyen, ibu bapa juga yakin dengan saya untuk mendidik anak-anak mereka,” katanya.

Masih menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah, Chow berharap para majikan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada golongan OKU terutama yang berpelajaran dan berkelayakan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button