Berita

GST Tidak Wajar Dilaksanakan Ketika Ekonomi Dalam Proses Pemulihan

92views

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Langkah tidak memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi adalah sesuatu yang wajar kerana ia akan membebankan lagi kedudukan kewangan pengguna yang terkesan oleh impak negatif COVID-19, kata penganalisis.

Walaupun cukai kepenggunaan itu adalah sistem cukai yang cekap, namun memperkenalkannya semula ketika ini dilihat tidak sesuai kerana ekonomi sedang dalam proses pemulihan.

Penganalisis Ekonomi Bebas, Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata adalah tidak wajar untuk menambah hasil kerajaan ketika ini dengan mengenakan cukai terhadap pengguna yang juga tenat, malah langkah sedemikian akan menambah parah kepada pengguna terutama golongan terjejas.

Beliau berkata, adalah lebih baik menunggu sehingga ekonomi pulih semula, barulah boleh melaksanakan semula GST.

“Kita mesti ingat GST ialah cukai kepenggunaan, memindahkan kewangan Persekutuan dari kocek pengguna kepada kocek Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan boleh pungut hasil cukai dari asas cukai lain bukan (daripada) asas cukai pengguna buat masa ini pada ketika soal kebajikan pengguna sedang dalam krisis kerana kemelesetan ekonomi,” katanya bagi mengulas mengenai gesaan sesetengah pihak supaya rejim cukai berkenaan diadakan semula bagi mengurangkan kekangan kewangan kerajaan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Syazwani Mazlan, jika GST dilaksanakan ia tidak seharusnya dilakukan secara drastik atau mengejut, sebaliknya pengumuman perlu dibuat terlebih awal untuk memberi masa yang cukup bagi peniaga, pengusaha atau pengguna untuk menerima perubahan sistem dan membuat persediaan yang secukupnya.

Katanya, antara langkah alternatif yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk meningkat pendapatan negara di tengah-tengah persekitaran mencabar adalah dengan membantu peniaga dan pengeluar untuk mengurangkan kos perniagaan dan pendekatan digital.

“Dengan cara ini, mereka akan lebih maju dengan meningkatkan pengeluaran dan seterusnya menjana ekonomi negara. Contohnya, kewujudan e-dagang adalah sangat bagus dan perlu dimajukan lagi untuk menggalakkan pendigitalan dan penggunaan perniagaan dalam talian.

“Langkah lain adalah seperti meningkatkan peluang pekerjaan berikutan peningkatan pengangguran dan meningkatkan pendapatan dan kuasa beli. Selain itu, kerajaan juga perlu menggandakan usaha dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim, berkata dalam ketika krisis kesihatan dan ekonomi seperti sekarang, sebarang keputusan untuk mengembalikan GST perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana ia bakal membabitkan peruntukan khas bagi membuat penukaran sistem percukaian, dalam persekitaran perbelanjaan fiskal boleh disalurkan bagi memberi sokongan kepada rakyat, komuniti perniagaan dan sektor ekonomi yang memerlukan.

Beliau berkata, pengenalan semula GST boleh dibuat apabila keadaan ekonomi lebih stabil dan khususnya apabila pandemik COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya.

“Walaupun GST adalah sistem percukaian yang lebih komprehensif dan mampu mengukuhkan sumber pendapatan negara, kajian teliti perlu dibuat bagi mengatasi kelemahan contohnya dari segi penguatkuasaan sehingga menyebabkan GST ditolak dan dimansuhkan sebelum ini,” katanya.

Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan cara baharu untuk mengembangkan asas pendapatan dan GST adalah antara yang boleh dipertimbangkan.

Namun, beliau menjelaskan, petunjuk masa untuk memperkenalkannya semula adalah penting untuk memastikan tidak mempengaruhi pemulihan ekonomi.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata kerajaan harus berusaha mengembangkan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk meningkatkan asas pendapatan.

Beliau berkata, buat masa ini, kerajaan akan menggunakan pelaksanaan fiskal dan monetari yang akan menyediakan panduan ke depan untuk mencapai strategi ekonomi yang dipacu pertumbuhan.

“Setelah ekonomi stabil barulah kerajaan dapat memikirkan sama ada mahu memperkenalkan semula GST atau tidak. GST pada dasarnya adalah struktur cukai berdasarkan penggunaan yang berkorelasi dengan permintaan agregat,” katanya.

Source Link