info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Guna Air Liur Dan Kahak Untuk Kesan COVID-19

30views

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang mengkaji untuk menggunakan air liur (awal pagi) dan kahak (deep throat saliva) untuk dijadikan sampel bagi mengesan COVID-19.

Ketua Unit Virologi IMR Dr T Ravindran, berkata ia adalah penemuan terbaru bagi menggantikan sampel yang diambil hasil calitan pada hidung dan tekak pada masa ini.

“Ia telah kita nilai, dan memang sebagus sampel yang kita guna sekarang iaitu calitan daripada hidung dan tekak,” katanya dalam sesi libat urus media darurat COVID-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan siri 2/201 secara dalam talian di sini, semalam.

Kaedah tersebut dilihat penting kerana ia bersifat ‘self collected’ (dikumpul sendiri) dan akan menjimatkan pemakaian penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE).

Sampel itu juga setakat ini didapati sesuai bagi ujian real-time reverse transcriptase-PCR (RT-PCR).

“Kita juga akan mengkaji sama ada sampel ini sesuai digunakan untuk ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag), kita perlu sedikit masa lagi untuk melengkapkannya,” katanya.

Sementara itu dalam sesi yang sama, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Dr Hani Mat Hussin menyatakan sebanyak 6.336 juta ujian COVID-19 sudah dilakukan di seluruh makmal di negara ini sejak 24 Januari tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 4.477 juta ujian dibuat menggunakan RT-PCR manakala sejumlah 1.859 juta ujian lagi menggunakan RTK-Ag,” katanya.

– BERNAMA

Source Link