Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaGuna IPEF sebagai platform bagi mulakan paradigma baharu pada abad ke-21

Guna IPEF sebagai platform bagi mulakan paradigma baharu pada abad ke-21

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) — Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) perlu digunakan sebagai platform untuk memulakan paradigma baharu Abad Ke-21 untuk memastikan pertumbuhan yang lebih cepat dan adil untuk ekonomi di rantau ini, selain menggalakkan keterangkuman dan kemakmuran bersama.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata berdasarkan dunia beralih kepada penumpuan isu yang lebih besar secara menyeluruh, kepentingan strategik dan ekonomi rangka kerja itu terletak pada keupayaannya untuk mengukuhkan ekosistem perdagangan rantau ini, memberikan dorongan untuk memacu penglibatan dan kerjasama ekonomi.

Beliau berkata demikian di akaun Twitternya hari ini selepas menghadiri mesyuarat peringkat Menteri tidak rasmi IPEF untuk Kemakmuran, dengan 13 rakan rangka kerja yang lain pada petang ini di Paris.

“Dalam intervensi saya, saya mengulangi pendirian Malaysia bahawa rangka kerja itu merupakan instrumen diplomasi ekonomi yang penting dalam menjalin hubungan seterusnya antara Amerika Syarikat (AS) dan rantau Indo-Pasifik.

“Dengan tumpuan prosiding hari ini pada Tonggak Perdagangan, saya menggesa kepada penyelesaian kolaboratif untuk isu perdagangan melalui rundingan dan dialog berikutan pendekatan sedemikian bersesuaian dengan rantau ini pada amnya,” katanya.

Mohamed Azmin juga berkata bantuan teknikal dan pembinaan kapasiti perlu menjadi sebahagian daripada IPEF, jika tidak, frasa keterangkuman untuk semua rakan rangka kerja akan dilihat tidak benar dan kerjasama ekonomi plurilateral untuk kemakmuran serantau akan menjadi ilusi.

“Saya turut menekankan pentingnya peraturan asas untuk memastikan perbincangan yang lebih cekap melalui proses rundingan yang lebih dinamik dan menyeluruh,” katanya.

Dalam perkara ini, menteri mencadangkan fleksibiliti, misalnya layanan istimewa dan berbeza, perlu diberikan untuk memastikan penggunaan peraturan dan peruntukan memberikan hasil yang adil dan saksama.

Ini, katanya penting berdasarkan perbezaan status pembangunan sosio-ekonomi dalam kalangan rakan.

Pada mesyuarat itu, Mohamed Azmin turut berkongsi mengenai kemajuan Malaysia dalam ratifikasi konvensyen mengenai amalan buruh, termasuk Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan negara juga telah meluluskan pelbagai undang-undang untuk melindungi hak pekerja asing.

Ini termasuk pencegahan buruh paksa, pembayaran gaji melalui akaun bank dan perlindungan kepada semua pekerja serta tindakan proaktif untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan buruh antarabangsa.

“Bagi daya tahan rantaian bekalan yang amat penting untuk memudahkan aliran perdagangan yang lancar di peringkat serantau, saya menegaskan bahawa Memorandum Kerjasama (MoC) yang ditandatangani baru-baru ini mengenai Daya Tahan Rantaian Bekalan Semikonduktor antara Malaysia dan AS merupakan langkah strategik untuk menangani keadaan tidak menentu dan di luar jangka.

“Saya mengunjurkan bahawa Rangka Tindakan Ekonomi Digital negara kita akan memacu agenda transformasi Malaysia untuk negara menjadi ekonomi digital yang pesat dan kita bersedia untuk menyertai inisiatif pendigitalan IPEF sepenuhnya,” katanya.

Mengenai isu rasuah, Mohamed Azmin berkata isu tersebut terus menjadi antara isu global utama yang memerlukan penyelesaian yang diselaraskan dan kerjasama antarabangsa.

“Sehubungan itu, saya menegaskan bahawa Malaysia, yang amat mementingkan tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti, keberkesanan dan kecekapan, menyertai Konvensyen PBB Menentang Rasuah sejak penubuhannya” katanya.

Beliau berkata Malaysia telah mengenal pasti 115 inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, yang dibangunkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah.

“Saya menegaskan bahawa melalui Tonggak Cukai dan Antirasuah rangka kerja itu, struktur antirasuah sedia ada Malaysia boleh dipertingkatkan lagi dengan kaveat bahawa elemen cukai perlu diasingkan daripada komponen Antirasuah, untuk membolehkan perbincangan yang lebih memberi impak,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular