Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaHaji: Bukan sahaja jemaah yang berkorban tetapi keluarga di tanah air

Haji: Bukan sahaja jemaah yang berkorban tetapi keluarga di tanah air

Daripada Zalina Maizan Ngah

MAKKAH, 21 Jun (Bernama) — Meninggalkan dua anak yang memerlukan rawatan rapi akibat masalah kesihatan demi mengerjakan ibadah haji adalah pengorbanan yang bukan sahaja melibatkan ibu bapa tetapi juga insan lain yang akan mengambil alih tanggungjawab.

Bersama keyakinan keberkatan Tanah Suci, Rabeatul Husna Abdull Rahman, 40-an, tiba bersama suami, Mohd Amir Mohd Adris, 40-an dan anak sulung Qistina Mohd Amir, 15 sejak dua minggu lepas.

Rabeatul Husna berkata ibunya yang tinggal di Perak adalah individu yang paling banyak berkorban kerana bukan sahaja perlu menjaga anak keduanya yang menghidap penyakit asma tetapi juga anak ketiga yang mengalami kerosakan buah pinggang.

“Kami berharap anak-anak dapat bersabar. Saya memang berterima kasih pada emak dan ayah yang menjaga anak kami. Bukan mudah nak jaga terutama anak nombor tiga kami yang kurang sihat.

Mak perlu uruskan ubat-ubatan anak saya…seperti yang mak saya dah pesan, serahkan urusan kepada Allah, semoga anak-anak terjaga dan kami akan balik ke pangkuan keluarga dengan selamat, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel Lane Premium yang menempatkan jemaah haji Malaysia.

Anak keduanya berusia 10 tahun, menghidap asma manakala anak ketiga berusia tujuh tahun bukan sahaja mengalami kerosakan buah pinggang sejak lahir, malah juga Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kategori masalah pembelajaran.

Menurut Rabeatul Husna kedua-dua anaknya terpaksa ditukarkan ke sekolah sekitar Perak dan proses itu terpaksa dilakukan dalam tempoh 10 hari sahaja dengan bantuan pihak pentadbiran sekolah dan jabatan pendidikan di Johor Bharu.

Tambah beliau, Tanah Suci menjadi tempat terbaik untuknya berdoa terutama untuk kesihatan anak-anak dan urusan mereka sekeluarga.

“Mak saya dah pesan banyakkan berdoa dan semua itu kuasa Allah. Walaupun yang bongsu itu semasa dilahirkan doktor kata umurnya tidak panjang tapi Alhamdullillah sekarang umurnya dah tujuh tahun…peluang sebegini (ke Tanah Suci) tak selalu datang.

Itu yang saya pesan pada Qistina supaya lakukan yang terbaik kerana peluang kita datang sekali seumur hidup. Kita buat sehabis baik dan semampu mungkin untuk beribadah,” katanya.

Sementara itu, Qistina yang merupakan antara jemaah haji muda berkata beliau telah bersedia untuk berdepan dengan usikkan rakan-rakan dan guru apabila pulang ke tanah air kelak.

“Kawan-kawan dah mula bergurau nak panggil hajah,” katanya yang memperoleh pelepasan daripada pihak sekolah selama dua bulan dan akan dibantu rakan-rakan untuk ulang kaji.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular