info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Hakisan Tebing: Penduduk Sungai Golok Bimbang Keselamatan

42views

PASIR MAS, 11 Okt  — Lima keluarga yang tinggal berhampiran Sungai Golok dekat pangkalan Syed Agil, Rantau Panjang, dekat sini melahirkan kebimbangan akibat hakisan tebing yang semakin parah dan boleh mengancam keselamatan mereka.

Mereka mendakwa longkang yang dibina oleh kontraktor yang dilantik pihak berwajib tidak menepati piawaian sehingga menyebabkan air longkang ataupun air hujan tidak dapat mengalir terus ke dalam sungai dan dibimbangi hakisan di kawasan tebing sungai itu lama-kelamaan akan menyebabkan rumah penduduk runtuh sekali gus mengancam nyawa mereka.

Seorang penduduk, Roslan Jusoh, 49, berkata sebahagian rumahnya yang diduduki sejak hampir 50 tahun lepas, runtuh bulan lalu apabila aliran air longkang menghakis sedikit demi sedikit tanah di bahagian bawah simen rumahnya yang hanya 10 meter dari Sungai Golok.

“Nasib baik ketika kejadian saya tidak berada di kawasan yang runtuh itu…jika tidak saya mungkin cedera parah ditimpa binaan konkrit, hakisan ini berpunca daripada aliran air longkang yang sepatutnya dibina lebih panjang dan terus mengalir ke sungai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Asenina Ariffin, 42, berkata dia bimbang sekiranya keadaan itu berterusan kerana rumahnya baru siap dibina dua bulan lepas dan berharap pihak berwajib dapat membaik pulih tebing di kawasan itu dengan segera bagi mengelak lebih banyak rumah penduduk terjejas.

Katanya, sebelum ini pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat perapian tanah di kawasan tanah miliknya disebabkan berlaku hakisan sejak beberapa tahun lepas tetapi kini keadaan itu berulang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor berkata hasil lawatannya ke kawasan berkenaan mendapati ada rumah penduduk yang runtuh akibat hakisan.

Beliau berkata sebahagian rumah penduduk dibina di atas tanah rizab sungai tetapi ada juga di atas tanah persendirian.

“Hasil siasatan ia berpunca daripada hujan dan perkara ini akan dibincangkan bersama dengan Menteri Besar untuk mendapatkan peruntukan segera daripada kerajaan negeri untuk membaiki tebing tersebut,” katanya.

Source link