Berita

Hantaran Kesat Di ‘Facebook’ : ‘Diana Mat’ Ditahan Polis

68views

PUTRAJAYA, 7 Mei — Seorang wanita yang dipercayai memuat naik beberapa hantaran menggunakan perkataan kesat dan berunsur ugutan ditujukan kepada petugas sekatan jalan raya di Putrajaya, ditahan malam tadi bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata polis sebelum itu menerima satu laporan pada jam 10.53 pagi pagi semalam, mengenai wanita itu yang menggunakan nama “Diana Mat.”

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebelum laporan polis itu dibuat, beberapa tangkap layar (screenshot) hantaran oleh suspek menggunakan perkatan kesat dan berunsur ugutan kepada pihak polis, didapati tersebar melalui media sosial.

“Pada jam 9 malam tadi, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga pemilik akaun facebook bernama “Diana Mat”, ditangkap.

‘Pihak polis merampas peranti iaitu telefon bimbit milik wanita itu, dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran di Facebooknya,” katanya dalam satu kenyataan media, pagi ini.

Mohd Fadzil berkata, wanita itu kini ditahan dan akan dibawa ke hadapan Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah; Seksyen 504 Kanun Keseksaan, mengaibkan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu menggunakan perkhidmatan rangkaian dan komunikasi secara tidak wajar.

“Pengguna media sosial yang lain dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang atau jabatan,” katanya.

Source Link