info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Hanya 100 jemaah dibenarkan di masjid, surau

33views

KUCHING, 18 Nov  — Berdasarkan perkembangan semasa wabak COVID-19 di Sarawak, hanya 100 jemaah dibenarkan solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau dengan mematuhi penjarakan fizikal, kecuali bagi Masjid Jamek Negeri Sarawak yang dibenarkan maksimum 200 jemaah.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan majlis pengimarahan seperti ceramah, kuliah, bacaan al-Quran dan Yasin pula hanya dibenarkan bagi tempoh antara Maghrib dan Isyak mengikut had ditetapkan.

Jamuan makan di dalam masjid dan surau juga tidak dibenarkan dan digalakkan menyediakan secara berbungkus untuk dibawa balik, menurut kenyataan itu.

MIS mengesahkan gugur tuntutan wajib mengerjakan solat Jumaat bagi sesiapa yang tidak memperoleh kuota jemaah solat Jumaat, sebaliknya hanya wajib menunaikan solat fardu Zohor.

Selain itu, MIS juga meminta supaya Garis Panduan Pengimarahan Masjid/Surau semasa dan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terus dipatuhi di seluruh Sarawak dan arahan ini berkuat kuasa mulai 19 Nov (esok) sehingga PKP Bersyarat (PKPB) diisytiharkan tamat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

— BERNAMA

Source link