info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Hanya Mampu Makan Nasi Kosong Digaul Minyak Ikan Goreng

29views

KUBANG PASU, 4 Feb — “Hanya mampu makan nasi kosong digaul dengan minyak ikan goreng setiap hari,” kata seorang nenek, Kharisun Daud, menceritakan kehidupan bersama dua cucunya yang serba daif di Kampung Mempelam, Bukit Kayu Hitam, di sini.

Lebih menyedihkan, wanita berusia 58 tahun itu turut menghidap masalah penglihatan yang semakin kabur akibat penyakit kencing manis.

Kharisun berkata, dia tidak mampu menyediakan hidangan lauk atau sayur seperti orang lain kerana tidak lagi dapat keluar bekerja selepas menghidap kencing manis sejak lima tahun lalu.

“Kerana kesempitan hidup juga, saya tidak mampu membeli telefon pintar bagi kegunaan dua cucu, Mas Emylia Natasya berusia sembilan tahun dan Mohd Alif Ashraf Hidayat berusia lapan tahun yang perlu belajar secara dalam talian.

“Keadaan kami tiga beranak memang sukar. Tahun lalu cucu saya hanya dapat bersekolah beberapa hari dan tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian,” katanya dua cucunya itu kini hanya belajar atas ihsan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Wan Kemara, Changlun yang sudi menghantar kerja sekolah ke rumah.

Kharisun mendakwa, dia terpaksa menjaga dua cucunya itu selepas ibu bapa mereka berpisah dan hanya datang menjenguk dua kanak-kanak berkenaan di kampung sekali-sekala.

Katanya, dia juga berterima kepada guru sekolah terbabit yang sering menghantar barangan keperluan harian, selain memberi wang tunai kepadanya.

“Jika tiada wang untuk makan, guru sekolah inilah tempat saya tuju kerana mereka tidak lokek untuk membantu kerana memahami keadaan saya.

“Semua anak sudah berkeluarga dan mereka hanya bekerja biasa seperti nelayan, pembantu kedai dan menjual ikan dengan pendapatan tidak menentu, namun mereka ada juga menghulurkan wang kepada saya.

“Saya masih bergantung wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, manakala rumah didiami sekarang adalah bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK),” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Dato Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin, berkata dua cucu wanita itu antara 20 murid golongan asnaf yang menerima bantuan telefon pintar serta talian prabayar sumbangan guru sekolah itu.

“Pemilihan murid ini dibuat oleh jawatankuasa sekolah yang dilantik bagi memilih murid yang benar-benar layak menerima peranti berkenaan,” katanya.

Source Link