Berita

Harga Maksimum Benih Padi Ditetapkan Pada RM35 Bagi Setiap 20 Kilogram

98views

TANJONG KARANG, 22 Dis — Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menetapkan harga maksimum benih padi sah pada harga RM35 bagi setiap 20 kilogram berkuat kuasa musim tanaman pertama, Januari tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata penetapan harga itu bertujuan menghapuskan manipulasi pihak tertentu selain memastikan pesawah mendapat hasil yang tepat.

Beliau berkata, harga berkenaan juga bakal memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pesawah di seluruh Semenanjung.

“Kita sedia maklum, setiap kali musim penanaman padi, isu kelewatan penghantaran benih padi dan harga sekampit benih padi dibeli pesawah tidak dikawal sepenuhnya oleh kementerian menyebabkan ada pesawah membeli 20 kilogram untuk sekampit benih padi yang mencecah harga RM60.

“Oleh itu, kita mengambil langkah bagi memastikan kepentingan pesawah mendapat hasil yang tepat dan memastikan harga sekampit benih padi sah tidak melebihi RM35,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pelancaran Agihan Benih Padi Sah dan Ziarah Peladang Negeri Selangor di Pusat Belian Padi Sawah Sempadan, di sini.

Beliau berkata pihaknya akan membuka lebih banyak peluang kepada pihak untuk menghasilkan benih padi sah termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) dan syarikat berkaitan kerajaan serta swasta.

“Lesen dan permit akan diberikan kepada ejen, individu atau syarikat yang berdaftar dengan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai harga pemotongan pemutuan padi yang tinggi di IADA Barat Laut Selangor, Ronald menjelaskan kaedah pemutuan padi itu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan kerajaan.

“Pemotongan pemutuan padi berbeza di setiap negeri dan ia berlaku di setiap musim penanaman padi,” katanya.

Source Link