Berita

Haziq Pernah Luah Hasrat Raih Pingat Di Tokyo

189views

KAJANG, 14 Mei — Pemanah negara Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia pagi ini, pernah meluahkan hasrat untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan bermula 23 Julai ini, kata jurulatih kebangsaan Lee Jae-Hyung.

Beliau berkata Haziq bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan membawa pulang pingat pada kali ini selepas dua kali tidak berjaya menaiki podium kerana Tokyo mungkin kali terakhirnya beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu yang membimbing Haziq sejak 2011 berkata pemergian Haziq sangat mengejutkan beliau.

“Sebelum raya, Haziq ada bincang dengan saya, beliau nak betul-betul cuba layak dan menang pingat pada kali ini. Memang terkejut (dengan berita pemergiannya),” katanya yang fasih berbahasa Melayu ketika ditemui pemberita di Hospital Kajang di sini, hari ini.

Haziq yang pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016, dilaporkan tidak sedarkan diri kira-kira 8 pagi tadi, sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.37 pagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Datuk Abdul Hamid Hasan menyifatkan Allahyarham Haziq seorang atlet yang berdedikasi, memberi komitmen pada setiap masa dan tidak pernah merungut dalam mengikuti program latihan yang disediakan.

“Kita seluruh warga memanah rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan isteri arwah. Kami rasa satu kehilangan yang cukup besar…kita boleh cari pengganti, tetapi susah nak dapat macam Haziq.

“Beliau sepatutnya menyertai kejohanan kelayakan Olimpik terakhir di Perancis pada 16 Jun dalam usaha melayakkan diri ke Olimpik Tokyo,” katanya.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut berada di hospital, berkata walaupun baru berusia 27 tahun, Haziq merupakan seorang atlet berpengalaman yang banyak berjasa kepada negara.

“Kita menghargai sumbangan arwah Haziq yang tidak ternilai terhadap sukan negara, khususnya memanah dan atlet kita sebenarnya wira negara yang sering berkorban tanpa rungutan dan tidak berputus asa serta bersemangat mengharumkan nama negara,” katanya.

Sepanjang sedekad mewakili negara, Haziq pernah meraih pingat emas pada Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina, selain meraih empat emas dan dua perak menerusi acara individu dan berpasukan di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.– BERNAMA

Source link