info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Helikopter Terhempas : Siasatan Dimulakan

89views

KUALA LUMPUR, 8 Nov —  Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan telah memulakan siasatan teknikal terhadap kemalangan melibatkan dua helikopter di Taman Melawati dekat sini hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata siasatan dilakukan menurut Lampiran 13 – Siasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang antara lain memperuntukkan laporan awal siasatan perlu disediakan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kejadian.

“Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan ialah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama pada masa depan.

“Dalam hubungan ini, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Wee, pasukan penyiasatan akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan untuk keselamatan penerbangan awam setelah siasatan selesai.

Katanya laporan tersebut akan digunakan oleh kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor-syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara.

Wee berkata Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) juga telah diaktifkan untuk membantu dalam penyelarasan operasi menyelamat kemalangan itu yang dilaporkan berlaku pada 11.50 pagi tadi.

Kemalangan melibatkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB) jenis G2CA itu berlaku ketika kedua-duanya sedang melakukan latihan penerbangan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dengan setiap pesawat membawa dua kru.

— BERNAMA

Source link