info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Hidap Bell Palsy, Faye Selamat Bersalin

29views

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Pelakon, Faye Kusairi, 33, bersyukur selamat melahirkan anak kedua, Ahad lalu, biarpun berdepan gangguan saraf muka atau Bell Palsy.

Faye atau nama sebenar, Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi tidak menafikan cabaran melalui proses bersalin dengan sebahagian muka lumpuh.

“Agak mencabar melahirkan anak dengan muka separa sedar. Namun, saya

berjaya melakukannya. Tiada yang mustahil dengan kuasa Allah.

“Saya bersyukur selamat melahirkan bayi perempuan pada jam 12.29 malam, 13 Disember lalu di sebuah pusat perubatan di Setapak.

“Saya melahirkan anak secara normal. Alhamdulillah, anak dan saya sihat,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut mengenai penyakit Bell Palsy yang dihidapi sejak 11 Disember lalu, Faye tidak menyalahkan takdir berdepan ujian itu.

Malah, Faye bersyukur kesihatannya semakin baik selepas menjalani beberapa sesi rawatan.

“Alhamdulillah, banyak perkembangan positif. Mata kanan boleh berkelip dengan lebih ketara. Pipi kanan sudah boleh bergerak sedikit… Sama juga bibir.

“Bagaimanapun, Jumaat ini saya perlu berjumpa dengan pakar neurologi untuk pemeriksaan lanjut.

“Saya perlu menjalankan rawatan fisioterapi. Ada mesin untuk otot dan saraf. Saya juga dinasihatkan melakukan senaman muka, urutan muka dan mengambil ubat serta vitamin,” katanya.

Pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini sangat positif berkongsi mengenai penyakit ini kerana baginya, segala-galanya anugerah Allah.

“Selalu percaya kepada Allah SWT. Pegangan saya sangat mudah, apa yang sudah ditakdirkan oleh Allah SWT, semuanya mempunyai hikmah dan kebaikan untuk kita.

“Jangan sulitkan keadaan. Untuk sentiasa positif, kita selalu perlu berfikir dengan mudah,” katanya.

Faye yang berkahwin dengan pengarah drama, Azmi Hatta pada 9 April 2017, dikurniakan anak lelaki, Alif Azmi pada 9 April 2018.

Source Link