BeritaKesihatan

HIPEC, PIPAC Tawar Harapan Baharu Kepada Pesakit Kanser Kolorektal

KUALA LUMPUR (Bernama) — Kanser kolorektal (CRC), kanser yang berlaku sama ada pada usus besar atau rektum, adalah jenis barah kedua paling biasa ditemukan dalam kalangan penduduk di negara ini.

Menurut Globocan (Global Cancer Observatory) – platform berasaskan web interaktif yang menampilkan statistik kanser global – sebanyak 6,597 kes CRC baharu direkodkan di Malaysia pada tahun lepas.

Dari segi kematian pula, kanser usus besar dan rektum masing-masing mencatatkan  2,035 and 1,385 kes pada tahun lepas.

CRC sukar untuk dikesan pada peringkat awal kerana gejalanya tidak begitu khusus, antaranya ialah perubahan berterusan dalam tabiat buang air besar serta ketekalan najis, sama ada cair atau keras atau silih berganti di antara kedua-duanya. Sesetengah individu mungkin mengesan darah atau mukus pada najisnya sementara orang lain pula mengalami kembung atau sakit perut.

Bagaimanapun rawatan pembedahan bagi CRC pada tahun-tahun kebelakangan ini berkembang pesat yang menyaksikan penggunaan teknologi canggih seperti  Hyperthermic Intraperitoneal Chemotherapy (HIPEC) dan Pressurised Intraperitoneal Aerosol Chemotherapy (PIPAC).

APA ITU HIPEC?

Dr Ang Chin Wee, pakar perunding bedah am dan kolorektal di Mahkota Medical Centre (MMC), Melaka, berkata HIPEC yang juga dikenali sebagai kemoterapi panas, merupakan satu rawatan yang mana ubat kemoterapi dipanaskan dan disuntik ke dalam abdomen.

“HIPEC merupakan sejenis kemoterapi hipertermik yang digunakan secara gabungan dengan pembedahan bagi rawatan kanser perut dan pelvis yang teruk dan sudah merebak, khususnya pada selaput perut yang dipanggil peritoneum.

“Semasa rawatan ini, ubat kemoterapi antikanser yang panas akan disuntik dan dialirkan ke dalam rongga abdomen selama 30 hingga 90 minit, bergantung pada jenis kanser,” jelas beliau.

Menurut Dr Ang, rawatan itu mengurangkan tahap keseriusan kesan sampingan yang lazim dikaitkan dengan kemoterapi dan meningkatkan peluang survival pesakit. Ini kerana rawatan itu meminimumkan keterdedahan tubuh kepada kemoterapi kerana ubat tersebut hanya tersebar di dalam abdomen.

HIPEC adalah untuk kanser tahap 4 yang sudah merebak ke peritoneum, katanya, menambah rawatan itu juga sesuai untuk kanser yang berasal daripada kanser lain seperti barah perut dan ovari, atau yang berpunca khususnya daripada peritoneum seperti mesotelioma

Membandingkan HIPEC dengan kemoterapi konvensional, Dr Ang berkata rawatan konvensional yang disuntik secara intravena, diketahui sebagai kurang berkesan dalam kes barah peritoneum.

Bagaimanapun, HIPEC membolehkan ubat kemoterapi yang dipanaskan terdedah secara langsung kepada sel-sel kanser.

“Penembusan yang lebih baik ke dalam sel kanser memberikan kesan maksimum dalam membunuh sel kanser,” katanya, menambah aliran secara langsung dan berterusan ubat kemoterapi ke dalam rongga abdomen turut meningkatkan penyebaran dan penembusan ke dalam sel kanser yang selebihnya.

Beliau berkata bagi menentukan sama ada seseorang pesakit akan menerima manfaat daripada rawatan HIPEC, imbas tomografi berkomputer (CT scan) dilakukan dan ada kala, prosedur laparoskopi dijalankan bagi menilai tahap penyakit peritoneum.

“Pada hari prosedur HIPEC dijalankan, pakar bedah akan terlebih dahulu membuang sebahagian besar, jika tidak kesemuanya, tumor yang kelihatan pada mata kasar di dalam kaviti abdomen dan peritoneum menggunakan kaedah  cytoreductive surgery atau CRS.

“Kemudian, (ubat) kemoterapi yang khusus untuk jenis kanser itu akan dipanaskan menggunakan mesin khas sebelum disuntik dan disebar ke dalam abdomen selama 30 hingga 90 minit,” jelasnya.

PIPAC, SATU RAWATAN BAHARU

PIPAC pula adalah kaedah baharu dan dianggap sebagai rawatan paliatif.

Semasa rawatan ini dijalankan, ubat kemoterapi diberikan dalam bentuk aerosol bertekanan atau semburan ke dalam rongga abdomen.

“Seperti HIPEC, PIPAC juga khusus untuk kanser peritoneum. Bagi pesakit yang tidak sesuai untuk rawatan HIPEC (contohnya, tidak cukup sihat untuk menjalani pembedahan besar), PIPAC akan dipertimbangkan untuk individu itu,” katanya, menambah PIPAC dianggap sebagai rawatan paliatif yang membantu mengawal penyakit peritoneum dan mengurangkan gejala disebabkan pengumpulan cecair abdomen, rasa sakit atau penyumbatan usus.

“Kadang-kadang, PIPAC juga digunakan sebagai prosedur ‘down-staging’ iaitu prosedur mengecutkan saiz dan jumlah ketumbuhan sebelum CRS dan HIPEC dijalankan kemudian.”

PIPAC dijalankan melalui laparoskopi – prosedur pembedahan invasif minimum.

“Ketika pembedahan, pakar bedah akan membuat beberapa insisi dan memasukkan ‘key-hole ports’ ke dalam abdomen. Gas karbon dioksida digunakan untuk mengembangkan rongga abdomen seperti belon agar satu kamera kecil boleh dimasukkan melalui port bagi memberi gambaran dan menilai tumor peritoneum dan kandungan abdomen.

“Kemudian, (ubat) kemoterapi khusus untuk jenis kanser itu akan ditukar ke dalam bentuk gas menggunakan mesin khas sebelum dimasukkan ke dalam abdomen secara berterusan selama 30 minit,” katanya.

Bagaimanapun di Malaysia, kesedaran tentang HIPEC dan PIPAC masih rendah, menyebabkan tidak ramai pesakit memilih rawatan ini.

Dr Ang berkata walaupun rawatan tersebut masih baharu dan belum meluas di Malaysia, HIPEC telah digunakan dalam amalan klinikal sejak lebih 20 tahun lepas di banyak negara.

“Keberkesanan HIPEC bergantung pada jenis kanser dan tahap penyakit. Umumnya, HIPEC digabungkan dengan CRS sebagai penyembuh.

“PIPAC pula satu prosedur yang selamat dan kebanyakan pesakit boleh menerimanya dengan baik. Kesan sampingan rawatan ini juga tidak banyak berbanding kemoterapi konvensional. Kemoterapi dalam bentuk aerosol didapati mempunyai kadar sebaran dan juga penembusan ke dalam sel kanser yang amat tinggi, justeru, amat berkesan dalam membunuh sel kanser,” tambah beliau.

Oleh Muhammad Basir Roslan

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button