Berita

Hishammuddin Kemuka Isu Kerjasama Asia Di Forum Diplomasi Antalya

114views

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini membentangkan empat isu utama yang beliau rasakan amat berkait dalam kerjasama serantau di Asia iaitu krisis di Myanmar, Laut China Selatan, perjuangan Palestin dan Intergrasi Ekonomi Serantau.

Hishammuddin, yang dijemput sebagai ahli panel Forum Diplomasi Antalya, sidang dua hari yang kali pertama dianjurkan di Antalya, Turki dan berakhir hari ini, menekankan mengenai kemajuan “Konsensus Lima Perkara’ pemimpin ASEAN di Jakarta bagi membantu Myanmar mengembalikan keamanan yang dilihat amat perlahan.

“Bagaimanapun, saya boleh mengesahkan hari ini bahawa saya dan rakan ASEAN berusaha 24 jam tujuh hari seminggu bagi melaksanakan konsensus ini dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum berkenaan bertajuk, ‘Kerjasama Serantau Asia’, yang disiarkan secara langsung menerusi laman web Forum Diplomasi Antalya.

Forum berkenaan meneroka batas diplomasi dalam pelbagai bidang utama serantau, isu serantau serta masalah berbangkit dengan tema ‘Inovatif Diplomasi: Era Baharu, Pendekatan Baharu’.

Berhubung isu Laut China Selatan, Hishammuddin berkata ramai menganggap isu ini hanya disebabkan garis dan titik bertindan serta bersilang di atas peta.

“Dalam dunia hubungan antarabangsa, semua elemen ini perlu diperhalusi dengan teliti pada sudut pandang geopolitik, mengambil kira faktor kuasa, geografi dan kepelbagaian.

“Keseimbangan geopolitik di rantau kami, terutama antara Amerika Syarikat (AS) dan China, adalah suatu yang dinamik dan tiada satu negara pun yang tidak terkesan,” katanya.

Beliau turut berkata, Malaysia juga gembira melihat suara negara Islam yang semakin lantang dan kuat akibat serangan terbaru ke atas Palestin.

“Meskipun kita fokus terhadap usaha kemanusiaan dan membangunkan semula yang menyaksikan Malaysia dengan rakan kongsi serantau dan dunia secara aktif terbabit sama, kita perlu terus berjuang untuk hak rakyat Palestin yang masih ditindas, masih diusir dari rumah mereka dan lebih buruk, terus-terusan dibunuh,” katanya.

Menyentuh aspek Intergrasi Ekonomi Serantau, Hishammuddin berkata Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), digabung dengan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), akan mengukuhkan lagi intergrasi di Asia Timur serta menyerlahkan rantau ini sebagai pusat dagangan yang menonjol.

“Ekonomi kami secara individu akan menjadi lebih efisyen dan sebagai blok pula, menjadi lebih berdaya saing di peringkat global. Asia Timur akan turut menjadi lebih menarik buat pelabur dan rakan dagang dari Eropah serta Amerika Latin,” katanya.

Hishammuddin kini dalam rangka lawatan kerja ke Turki dan Mesir sehingga 21 Jun.

— BERNAMA

Source link