HLIB jangka ringgit berada pada purata RM4.34 berbanding dolar AS pada 2023

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berpandangan prestasi buruk ringgit bakal berakhir dan menjangka unit tempatan itu berada pada purata RM4.34 berbanding dolar AS pada 2023 berbanding kira-kira RM4.40 ketika ini.

Ringgit dijangka mengakhiri tahun ini sekitar RM4.30.

Firma penyelidikan itu berkata pada 2022, ringgit mencatatkan penurunan berbanding dolar AS disebabkan oleh kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (Fed) di tengah-tengah data AS yang kukuh dan jangkaan inflasi.

“Melangkah ke 2023, Fed membayangkan pendekatan lebih seimbang apabila keseluruhan inflasi telah menyederhana daripada paras kemuncak susulan harga minyak mentah dan makanan yang rendah.

“Bagaimanapun, pergerakan kadar pertukaran masih agak tidak menentu kerana inflasi tarikan permintaan kekal kukuh seperti yang ditunjukkan oleh prestasi kukuh pasaran buruh,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, HLIB berkata kelonggaran sekatan COVID-19 di China juga dijangka meningkatkan permintaan terhadap komoditi yang kemungkinan akan merangsang minat terhadap mata wang komoditi dan juga rakan dagangannya, termasuk Malaysia.

Sementara itu, mengenai pasaran ekuiti Bursa Malaysia, firma penyelidikan itu berkata situasi tidak menentu telah mereda dan mengunjurkan pasaran yang kurang bergelora pada 2023.

“Meskipun turun naik pasaran tidak dijangka menghilang dalam tempoh terdekat ini susulan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi, kami merasakan pemegang saham asing akan membendung pengaliran keluar besar-besaran ekuiti.

“Kebanyakan faktor-faktor yang menjejaskan pasaran tahun ini seperti gangguan rantaian bekalan, kekurangan buruh, langkah agresif Fed menaikkan kadar dan ketidaktentuan politik tempatan telah mereda dan prestasi ekonomi Malaysia kini semakin teguh. Kami menyasarkan FBM KLCI berada pada 1,580 pada 2023,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button