BeritaPerniagaan

Hong Leong Bank Terus Sediakan Bantuan Kewangan

218views

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank akan meneruskan bantuan bersasar bagi pakej pembayaran/pembayaran balik kepada mereka yang menghadapi masalah aliran tunai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Dalam kenyataan pada Rabu, Pengaran Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Domenic Fuda berkata bantuan itu bertujuan menyediakan pelbagai keperluan pelanggan berdasarkan keadaan masing-masing.

“Kami menyedari sebilangan peminjam pasti menghadapi cabaran aliran tunai disebabkan kesan pandemik yang berterusan.

“Justeru, kami akan terus menyediakan bantuan pembayaran/pembayaran balik kepada pelanggan yang memerlukan bantuan,” katanya.

Fuda berkata proses permohonan dalam talian yang dipermudah bagi pelan bantuan pembayaran balik (PRAP) akan terus memastikan peminjam menerima bantuan tersebut serta-merta, sekali gus mengurangkan beban kewangan mereka.

Ini termasuk membantu menguruskan kewajipan membayar balik/pembayaran menerusi penyusunan semula dan penjadualan semula pinjaman dan pembiayaan, penangguhan pembayaran balik/pembayaran dan pengurangan ansuran pinjaman/pembiayaan bulanan, katanya.

Mengikut PRAP, terdapat pelan khusus bagi antaranya perusahaan mikro, pelanggan B40 dan M40 serta menguruskan hutang kad kredit menerusi Pelan Bantuan Penukaran Kad Kredit HLB.

Di samping itu, bank juga memberikan pinjaman dan pembiayaan kepada pelanggan yang ingin mengembangkan perniagaan, mengautomasikan dan mendigitalkan operasi mereka, atau individu yang mencari pinjaman/pembiayaan baharu untuk memenuhi keperluan pinjaman/pembiayaan peribadi mereka.

“Kami menggalakkan pelanggan bertindak proaktif menghubungi kami apabila mereka memerlukan bantuan supaya kita boleh berbincang mengenai jenis dan tempoh bantuan yang diperlukan.

“Bank terus memberikan komitmen dalam menawarkan bantuan yang sesuai supaya kami dapat bersama-sama mengharungi cabaran berkaitan pandemik ini,” katanya.

Pelanggan boleh melayari www.hlb.com.my/relief untuk mendapatkan maklumat lanjut atau memohon bantuan.

Pelanggan juga boleh mengunjungi cawangan bank atau menghubungi talian hotline HLB PRAP di 03-7959 1888.

— BERNAMA

Source link