Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaHukuman mati masih wujud, pemansuhan hanya hukuman mati mandatori

Hukuman mati masih wujud, pemansuhan hanya hukuman mati mandatori

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) — Hukuman mati masih wujud dalam perundangan Malaysia walaupun kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori pada 8 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman gantian yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

“Sekarang secara prinsipnya kerajaan bersetuju pada 8 Jun bila Jemaah Menteri bersetuju, maknanya prinsipnya kerajaan tidak akan melaksanakan hukuman mati mandatori tetapi di mahkamah sana masih.

“Undang-undang itu ‘governed by existing law’ (undang-undang sedia ada yang belum dipinda),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hukuman mati mandatori merujuk kepada peruntukan-peruntukan kesalahan jenayah iaitu tertuduh yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati tanpa sebarang pengecualian kerana hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati kepada tertuduh apabila disabit dengan kesalahan contohnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular