info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Ibu Bapa, Adik Dan Pembantu Peribadi Alif Satar Turut Positif COVID-19

55views

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Ibu, bapa, adik bongsu dan pembantu peribadi Alif Satar turut disahkan positif Covid-19 hari ini selepas penyanyi dan pelakon popular itu disahkan positif wabak itu, semalam.

Pengurus Alif, Adlina Abu Bakar ketika memaklumkan perkara itu berkata, ibu bapa Alif, Nor Hafiza Muhammed, Mohamed Satar Ramli dan adiknya yang dikenali sebagai Jim menjalani ujian saringan, kelmarin.

Alif kini dirawat dan menjalani kuarantin di sebuah pusat perubatan di Melaka.

Menurut Adlina, isteri Alif, Sha Dila Hadid dan anak-anak mereka iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3 dan Muhammad ‘Ali, 1, juga sudah menjalani ujian swab hari ini dan sedang menunggu keputusan.

Bagaimanapun, Adlina bersyukur apabila keputusan ujian swab yang diterimanya hari ini negatif selepas melakukan ujian itu kelmarin.

“Alhamdulillah keputusan saya, kumpulan The Locos serta jurutera audio peribadi yang terbabit pada hari pertama separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) negatif. Namun sebagai langkah berjaga-jaga kami akan kekal berada di rumah untuk menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

“Saya enggan mengambil sebarang risiko dan berharap rantaian wabak ini dapat diputuskan dengan segera. Saya juga berharap rakan-rakan artis, kru produksi serta mana-mana individu yang mempunyai kontak rapat dengan kami juga terhindar daripada wabak ini,” katanya.

Menurut Adlina, ketika ini Alif memohon doa orang ramai supaya isteri dan anak-anaknya tidak dijangkiti wabak terbabit dan segala urusan dipermudahkan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus mendoakan dan memberi sokongan moral. Alif pesan kepada saya dan berharap semua orang mendoakan agar isteri dan anak-anaknya dijauhkan dari Covid-19 sebab mereka baru saja menjalani ujian saringan pagi tadi.

“Kita sama-sama doakan semoga kesihatan Alif akan segera pulih. Saya meminta jasa baik semua pihak supaya tidak menyebarkan kebencian atau fitnah ketika Alif sedang berdepan ujian,” katanya.

Source Link