Berita

Ibu Disyaki Mendera Anak Kandung Ketika Ketagihan Dadah

106views

BUTTERWORTH, 9 Mac — Polis menahan seorang wanita dipercayai mendera dan memukul bayi lelakinya berusia tujuh bulan hingga menyebabkan lebam pada badan dan mata dalam kejadian di sebuah pangsapuri, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima laporan daripada bapa bayi terbabit berusia 28 tahun yang memaklumkan anaknya dipercayai dipukul dan didera namun tidak mengetahui perbuatan siapa.

Beliau berkata, menurut lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu, isterinya yang sudah tidak tinggal bersamanya datang menghantar anak mereka di rumahnya dekat Kuala Bekah, di sini pada jam 4.30 petang kelmarin.

“Lelaki berkenaan kemudiannya meminta kakak iparnya untuk memandikan anaknya sebelum dia diberitahu oleh kakak iparnya bahawa terdapat kesan lebam pada bahagian badan serta mata anaknya.

“Dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan lanjut sebelum pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan lebam di dahi, muka dan perut sebelah kiri selain terdapat pendarahan di konjunktiva (mata) di sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, sebelum itu lelaki terbabit ada bertanyakan mengenai perihal bayi lelakinya kepada isterinya pada hari wanita itu menghantar anak mereka.

“Ini memandangkan isterinya menghantar anak secara tiba-tiba dan wanita itu hanya menjawab bahawa anak mereka terjatuh dari buaian namun sebelum itu dia ada menerima surat rawatan anaknya dari sebuah hospital swasta.

“Lelaki terbabit sudah tidak sehaluan dan tinggal berasingan dengan isterinya yang mana bayinya itu sering di jaga oleh ibu mentua dan kadangkala isterinya,” katanya.

Noorzainy berkata, bertindak melalui laporan yang diterima polis menahan ibu bayi terbabit yang berusia 25 tahun untuk siasatan lanjut.

“Soal siasat mendapati suspek mengatakan anaknya mungkin terjatuh dari buaian semasa dalam jagaan kawan-kawan lelakinya di sebuah pangsapuri yang didiaminya dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat di lokasi kejadian.

“Keterangan yang diberi suspek meragukan dan polis mengesyaki bahawa dia dan rakan-rakannya adalah geng penagih dadah menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Source Link