Berita

Ibu pejabat dan kaunter PPZ-MAIWP kembali beroperasi

154views

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Ibu pejabat dan sembilan cawangan kaunter Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dibuka semula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff berkata, pembukaan semula kaunter-kaunter berkenaan dibuat untuk memudahkan urusan pembayaran zakat dilakukan, selepas ditutup buat sementara waktu bagi kerja-kerja sanitasi baru-baru ini.

“Bagi memastikan keselamatan pembayar zakat dan kakitangan terjaga, PPZ-MAIWP akan mengambil langkah-langkah pencegahan mengikut prosedur operasi standard (SOP), yang telah ditetapkan kerajaan kepada pembayar zakat ketika hadir berurusan di kaunter.

“Urusan bayaran zakat (akad dan doa) akan dibuat seperti biasa, tetapi petugas kaunter tidak berjabat tangan ketika menerima bayaran zakat, bagi mengelakkan sebarang kontak rapat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa waktu operasi kaunter-kaunter tersebut adalah 8.15 pagi hingga 4.45 petang dari Isnin hingga Khamis dan pada Jumaat dari 8.15 pagi hingga 12.30 tengah hari dan disambung semula pada 2.30 petang hingga 4.45 petang.

Kaunter juga beroperasi pada hari Sabtu minggu kedua, empat dan kelima dari 8.15 pagi hingga 12.45 tengah hari.

Pembayar zakat juga boleh memilih transaksi dalam talian di www.zakat.com.my atau perbankan internet bagi urusan bayaran zakat dan menghubungi PPZ-MAIWP di talian 1300 88 5757 atau e-mel di info@zakat.com.my sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan pertanyaan.

— BERNAMA

Source link