Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaIJN perkenal CareAide bantu perbaiki ketidakpatuhan pengambilan ubat

IJN perkenal CareAide bantu perbaiki ketidakpatuhan pengambilan ubat

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) — Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan aplikasi mudah alih baharu iaitu CareAide melalui kerjasama dengan CaringUp bagi membantu memperbaiki aspek ketidakpatuhan pengambilan ubat.

IJN dalam kenyataan memaklumkan ia adalah platform pematuhan pertama di Asia yang diwujudkan dengan ciri-ciri bagi menangani masalah berkenaan dengan membenarkan campur tangan oleh ahli keluarga.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan, CaringUp mendapati keluarga memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan seorang pesakit. Platform ini menggunakan gabungan ciri-ciri yang direka bagi membantu pesakit mematuhi rawatan yang ditetapkan untuk mereka.

“Ia termasuk makluman kalendar yang diperibadikan, perkongsian maklumat mudah dengan penjaga dan doktor, serta fungsi penjadualan. Selain itu, CareAide menggunakan gamifikasi dan ganjaran untuk penjaga dan ahli keluarga bagi memacu perubahan positif dalam kehidupan mereka,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata sistem EMR IJN dijadual dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami pada transformasi ‘sistem maklumat menyeluruh’, yang pada asasnya memerlukan penggunaan penyelesaian kesihatan digital yang mana mungkin bagi memudahkan proses kami serta membantu pesakit kami menguruskan kesihatan mereka sendiri dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata usaha pendigitalan pusat itu juga akan menyokong matlamat jangka panjang kerajaan untuk memasuki Revolusi Perindustrian Keempat.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular