info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

India Larang Eksport Bawang Punca Harga Bawang Naik

81views

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Peningkatan harga bawang di pasaran berpunca larangan eksport kerajaan India terhadap hampir semua jenis bawang untuk menampung keperluan domestik negara itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata larangan itu dikeluarkan kerajaan India pada 14 September selepas berlakunya bencana banjir besar di negara berkenaan, Julai lalu.

“Pada 14 September 2020, kerajaan India mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis Bangalore Rose dan Krishnapuram.

“Berikutan itu, sebanyak 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, harga bawang sama seperti harga barangan lain bergantung kepada bekalan dan permintaan.

“Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, maka harga akan naik.

“Inilah yang juga sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland,” katanya.

Mengulas rungutan pengguna mengenai isu bekalan dan harga bawang meningkat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah berlaku dalam pasaran.

“Buat makluman pengguna, pengimportan bawang adalah di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berhubung perkara ini di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong dan peruncit.

“Pihak kementerian juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika terbukti ada kes dan akan melaksanakan harga kawalan yang dalam bidang kuasa kementerian seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan,” katanya.

Beliau turut berharap pengguna dapat memuat turun aplikasi Price Catcher membolehkan pengguna memeriksa harga barang dan mendapatkan barangan keperluan di kedai menjual dengan harga berpatutan.

Katanya, KPDNHEP juga amat menghargai maklum balas daripada pengguna agar tindakan segera dapat diambil.

Aduan boleh dibuat melalui pelbagai saluran termasuk portal e-aduan@kpdnhep.gov.my , hubungi Call Centre di talian 1800 886 800 atau emel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my.

Source Link