info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Individu Positif COVID-19 Lari Dari Rawatan Ditemui

42views

GEORGETOWN, 16 Nov — Seorang lelaki yang memotong gelang merah jambu, dipakai individu di bawah pengawasan (PUS) COVID-19 yang melarikan diri dari Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam, berjaya ditemui semula malam tadi.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditemui di kawasan kaki lima deretan kedai di Bayan Lepas, kira-kira jam 9 malam tadi oleh orang awam sebelum sepasukan petugas kesihatan lengkap memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) tiba di lokasi.

Dia kemudian dibawa semula ke hospital dengan ambulans. Difahamkan, lelaki berkenaan berjalan kira-kira 25 kilometer dari HPP ke Bayan Lepas.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib, ketika dihubungi, mengesahkan lelaki itu sudah dijumpai dan dibawa semula ke hospital, namun enggan mengulas lanjut.

Lelaki berasal dari Kepala Batas itu dikesan tiada di katilnya pada jam 3.20 petang semalam, dipercayai melarikan diri dengan memakai baju dan seluar berwarna putih, manakala gelang pengawasan berwarna merah jambu ditinggalkan di atas katil.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memaklumkan gelang tangan atau tag kuarantin COVID-19 tidak hanya berwarna merah jambu, sebaliknya terdiri daripada lima warna berbeza dan mempunyai fungsi sama untuk individu di bawah pengawasan.

Empat warna lain adalah putih, biru, merah atau kuning yang mengandungi maklumat tempat dan tarikh saringan dilakukan. Perbezaan warna gelang tertakluk kepada stok di kawasan setempat dan penentuan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

PUS termasuk kontak rapat kes positif, pengembara yang pulang dari luar negara atau individu yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Individu yang dipakaikan gelang terbabit tidak boleh keluar rumah sehingga tempoh kuarantin tamat, kecuali bagi ketua keluarga. Gelang kuarantin juga hanya boleh dipotong oleh PKD yang terbabit setelah tempoh kuarantin tamat.

Source Link