info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Industri Francais Tempatan Berkembang

75views

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Industri francais di Malaysia berkembang pada tahap membanggakan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, termasuk mencatat peningkatan dari segi nilai jualan syarikat terbabit.

Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsuzaman Sulaiman berkata industri itu juga terbukti memberikan sumbangan yang sangat signifikan terhadap sosioekonomi negara berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais (LTPF).

Menurutnya, statistik LTPF itu menunjukkan nilai jualan syarikat francais telah meningkat kepada RM11.15 bilion pada 2018 berbanding RM8.62 bilion pada 2016 — peningkatan sebanyak 30 peratus dalam tempoh hanya dua tahun.

“Pada masa ini, industri francais negara merangkumi 583 francaisor tempatan, 63 francaisi induk dan 269 francaisi jenama asing telah berdaftar di bawah Akta Francais 1998.

“Jumlah ini meningkat sebanyak kira-kira 20 francaisor baharu setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual menerusi slot khas bersama Bernama Radio bagi topik Pengembangan Perniagaan Melalui Francaisi di Wisma Bernama di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung, Farid Yahya.

Mengulas selanjutnya, Shamsuzaman berkata sehingga kini, sebanyak 13,017 premis perniagaan francais telah beroperasi dengan 5,419 merupakan premis francaisor atau francaisi induk manakala 7,599 premis adalah milik francaisi.

Lebih membanggakan, beliau berkata sebanyak 65 jenama antaranya Daily Fresh, Rotiboy dan Smart Reader telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka menerusi pembukaan lebih 3,000 outlet baharu di 66 buah negara.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga telah menyediakan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 bagi membantu kemasukan golongan muda ke dalam industri francais.

“Melalui skim ini, mereka berpeluang menceburi bidang perniagaan dengan membeli pakej-pakej perniagaan francais mikro dan mampu milik yang ditawarkan oleh francaisor.

“Kerajaan melalui Credit Guarantor Corporation juga sedia menawarkan pembiayaan sehingga mencecah jutaan ringgit untuk mereka yang berminat menceburi bidang ini,” katanya.

— BERNAMA

Source link