Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaIndustri pelancongan Malaysia tingkat usaha promosi di India

Industri pelancongan Malaysia tingkat usaha promosi di India

NEW DELHI, 19 Mei (Bernama) — Industri pelancongan Malaysia sentiasa melihat India sebagai satu  daripada sumber penting dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong ke negara ini, ketika mereka bergelut untuk memperhebat usaha ke arah pemulihan sektor berkenaan.

Menerusi penyertaan dalam karnival pelancongan di Noida Raya berhampiran New Delhi, perwakilan Malaysia sibuk mengatur pertemuan dengan operator pelancongan India untuk mengemas kini pembukaan semula hotel, taman tema serta jadual penerbangan yang beransur-ansur disusun semula.

Timbalan Pengerusi Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Anil Jeet Singh Sandhu; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid serta pegawai lain turut memberikan taklimat kepada media mengenai peraturan baharu terhadap pelancong asing, menekankan betapa kebanyakan syarat ketat berkaitan pandemik sudah pun dimansuhkan bagi membolehkan sektor pelancongan Malaysia dibuka semula.

“Malaysia sudah sedia menerima pelancong dari luar negara. Bermula 1 Mei, pelancong yang sudah lengkap divaksin tidak lagi perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas atau ketika tiba dan  mereka juga tidak perlu menjalani kuarantin serta mengambil insurans khas COVID-19,” katanya.

Kempen promosi pelancongan Malaysia di India mendapat sambutan berikutan peningkatan dalam penerbangan. Bilangan penerbangan mingguan antara India dan Malaysia ditambah kepada 104 berbanding 76 dan kebanyakan bandar utama di India kini dihubungkan dengan Kuala Lumpur.

Antara syarikat Malaysia yang menyertai pameran tiga hari di Bursa Pengembaraan dan Pelancongan Asia Selatan (SATTE) yang bermula pada Rabu itu, termasuk Sunway Resort, Genting SkyWorld, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Desaru Coast, Lembaga Pembangunan Langkawi, Air Asia dan Batik Air.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn Bhd Roslina Arbak, berkata insentif bernilai 12 juta rupee India (kira-kira RM680,000) ditawarkan bagi menarik pelancong serta mereka yang berminat menggunakan kemudahan Desaru untuk acara dan majlis perkahwinan.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Tourism Malaysia di New Delhi Sulaiman Suip berkata sasaran tahun ini adalah untuk menarik 172,000 ketibaan dari India.

“Jumlah ini berdasarkan trend ketibaan yang dilihat sejak sempadan dibuka semula pada April,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular