Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaInfrastruktur TRX siap 99 peratus — CEO

Infrastruktur TRX siap 99 peratus — CEO

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — TRX City Sdn Bhd memaklumkan hampir keseluruhan infrastruktur utama pembangunan di Tun Razak Exchange (TRX) siap 99 peratus setakat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Datuk Azmar Talib.

Beliau berkata buat masa ini kerja-kerja utama infrastruktur hanya tinggal satu peratus sahaja lagi untuk penyiapan sepenuhnya.

“Walaupun kita dikekang oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh wabak COVID-19, Alhamdulillah kita telah berjaya meneruskan pembangunan TRX ini dan buat masa ini bangunan yang telah berjaya disiapkan adalah Menara Prudential serta HSBC Bank.

“Kini bagi bangunan Affin Bank pula kami telah berjaya mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan dijangka masuk pada suku ketiga tahun ini,” katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange di sini hari ini.

Jelasnya, TRX adalah pemaju utama tetapi pembangunan bagi plot-plot individu lain bergantung kepada tuan tanah masing-masing.

Azmar ketika memberi kemas kini mengenai segmen runcit TRX menjelaskan medan komersial utama TRX akan dikenali sebagai ‘Lifestyle Quarter Retail’, dibangunkan secara usaha sama 60:40 dengan sebuah syarikat hartanah dan infastruktur dari Australia, Lendlease, syarikat berkenaan juga akan menguruskan segmen tersebut.

“Sewajarnya Lifestyle Quarter Retail akan membuat beberapa pengumuman.

“Kami melihat banyak kemajuan tetapi sudah tentu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mempengaruhi beberapa kemajuan fizikal kami.

“Kami cuba mencari momentum, terutamanya usaha dalam mendapatkan peruncit yang baharu di pasaran untuk kembali ke TRX,” katanya.

Bercakap mengenai inflasi global dan kadar faedah yang meningkat, Azmar berkata pihaknya tidak menolak perkara itu yang sememangnya akan memberi kesan kepada aktiviti pembangunan TRX, bagaimanapun pihaknya telah memuktamadkan kebanyakan kerja-kerja pembangunan.

“Kami hanya mahu menyudahkan kerja kami tetapi bergerak ke hadapan, kami perlu menyedari bahawa penyesuaian dengan keadaan ini perlu dibuat.

“Saya dan semua pihak lain amat prihatin dengan keadaan semasa tetapi kami cuba mengimbangi apa-apa risiko yang bakal timbul,” katanya.

Projek TRX yang berkeluasan 70 ekar itu dijangka selesai secara berperingkat dalam tempoh 15-20 tahun akan datang. Projek mega itu membuka tabir pada 2019 dengan bermulanya operasi Menara Prudential.

Kumpulan Mulai dari Indonesia yang merupakan pemaju bangunan pencakar langit, Exchange 106, sedang mencari penyewa. Ibu pejabat HSBC dan Affin Bank pula akan beroperasi pada 2022.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular