info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Ingin rakam foto bersama ibu dan datuk hasrat terakhir Nicolester

77views

SIBU, 2 Nov — Ibu kepada Konstabel Nicolester Dadup Unggat yang maut sewaktu mengejar dua suspek dalam sebuah kereta di Johor Bahru Ahad lepas ada merasa tidak sedap hati beberapa hari sebelum kemalangan itu.

Menurut Elizabeth Salang, 42, tiga hari sebelum kejadian itu, anak sulungnya yang berumur 20 tahun itu menghantar pesanan melalui WhatsApp kepadanya menyatakan hasrat untuk kembali bercuti ke sini Disember ini dan bercadang merakamkan fotonya mengenakan pakaian seragam istiadat yang dipakai semasa tamat latihan sebagai anggota polis bersama-sama ibu dan datuknya.

“Dia memberitahu saya, dia akan memakai pakaian seragam putih (pakaian seragam istiadat) untuk bergambar bersama saya dan bapa saya (Salang Kaya) nanti, sehinggakan (beberapa hari) sebelum kejadian itu saya memang merasa tidak sedap hati,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Menurutnya kematian Nicolester hanya diketahuinya selepas menerima panggilan daripada seorang pegawai di tempat anaknya bertugas pada pukul 8.00 pagi Ahad yang memberitahu anaknya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika mengejar dua suspek dalam kereta semasa membuat rondaan.

Rakan setugas mendiang, L/Kpl Mohammad Fadhirul Musa, 32, cedera parah selepas kereta peronda yang mereka naiki terbalik semasa mengejar dua suspek dalam sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Kangkar Tebrau – Jalan Tun Teja Johor Bahru awal pagi hari berkenaan.

Sementara itu datuk mendiang, Salang Kaya,76, berkata cucunya itu memang berminat dengan kerjaya sebagai tentera dan polis sejak dari kecil lagi. Nicolester berjaya menyertai polis dan menjalani latihan di Kuching, pada bulan November 2019 dan menamatkan latihan pada Mei tahun ini.

Menurutnya,  Nicolester bersama tiga lagi adiknya memang dipelihara sejak kecil berikutan ibu dan bapa mereka bercerai dan menganggap mereka sebagai anak sendiri.

“Sebaik sahaja tamat latihan, mendiang terus ditempatkan di Johor dan selama enam bulan di sana setiap hari saya telefon dia bertanya tentang tugas harian. Pada petang hari kejadian saya ada hubungi dia dan dia beritahu bertugas rondaan malam dari pukul 12.00 tengah malam hingga 8.00 pagi keesokan hari.

Saya menasihat dia supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan semasa bertugas,” katanya.

Jenazah mendiang Nicolester akan dikebumikan mengikut upacara rasmi PDRM di tanah perkuburan Nirvana Memorial Park, Kilometer 37 Jalan Oya pada pagi Khamis ini.

— BERNAMA

Source link