Berita

Insiden kemalangan LRT kejutkan negara

194views

KUALA LUMPUR, 24 Mei  — Dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC pada malam Isnin, menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 lagi cedera ringan.

Foto dan video tular dikongsi di media sosial memaparkan penumpang LRT berkenaan yang dilihat cedera, terduduk, terbaring, malah ada yang dilihat berlumuran darah dalam insiden pada pukul 8.45 malam itu, benar-benar mengejutkan negara.

Insiden berlaku pada hari ke-12 Syawal, ketika negara sedang berhadapan dengan situasi kritikal pandemik COVID-19, menyebabkan tumpuan rakyat beralih seketika kepada insiden yang melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Seramai 213 penumpang  yang berada di dalam satu tren itu cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta beberapa hospital berhampiran.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kesemua penumpang itu berada di dalam tren yang dalam perjalanan dari Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Gombak, manakala sebuah lagi dari Stesen LRT Kampung Baru ke Stesen LRT Gombak dan hanya membawa seorang pemandu.

Di lokasi kejadian, anggota penyelamat terdiri daripada petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Tentera Malaysa bertungkus lumus membantu kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa terlibat.

Kesemua penumpang berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 9.50 malam dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta beberapa hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL juga dipenuhi ahli keluarga mangsa yang menunggu dengan penuh sabar bagi mendapatkan maklumat berhubung insiden berkenaan. Bagaimanapun pengamal media yang berkumpul di HKL tidak dibenarkan mendekati ahli keluarga mangsa bagi tujuan temuramah.

Prasarana selaku pengendali perkhidmatan berkenaan memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku.

Pengarah Jabatan dan Penyelamat Bomba Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata pihaknya mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa kerana laluan yang terlalu sempit di dalam terowong, dan mereka terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga kerana landasan tren itu mempunyai banyak kabel elektrik.

Beliau turut memaklumkan bahawa semasa pasukan penyelamat tiba, ada pintu tren telahpun dibuka dan ada mangsa yang telah keluar menyelamatkan diri.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong yang turut melawat lokasi kejadian itu berkata satu pasukan panel penyiasat khas akan ditubuhkan segera bagi menyiasat punca insiden.

Menurutnya laporan awal insiden berkenaan akan dihantar kepada beliau oleh ketua pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pagi Selasa, manakala hasil siasatan oleh pasukan khas itu pula dijangka akan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam tempoh dua minggu.

Insiden itu turut menarik perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang segera memberikan arahan kepada semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan menyeluruh memandangkan negara berada dalam gelombang pandemik COVID-19 yang sedang meningkat naik.

Memandang serius kemalangan itu, Muhyiddin menyatakan beliau juga telah mengarahkan MOT dan Prasarana Malaysia Berhad melakukan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca kemalangan dan tindakan tegas harus diambil dengan segera.

— BERNAMA

Source link