COVID19

Intel Malaysia peruntuk tambahan RM2 juta bagi bantuan COVID-19

GEORGE TOWN, 22 Sept — Intel Malaysia telah menyumbang tambahan sebanyak RM2 juta bagi membantu memerangi penularan pandemik COVID-19 di negara ini, selain daripada RM3.2 juta yang telah disumbangkan sejak bermulanya pandemik itu pada tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata sumbangan terbaharu itu akan digunakan untuk menyediakan peralatan dan sokongan perubatan bagi hospital menangani COVID-19 di Pulau Pinang dan Kedah, termasuk oksigen, katil hospital, monitor parameter, pam picagari tercanggih, mesin tiub kanula hidung dan pemeriksaan hidung.

Selain itu, pengeluar perkakasan teknologi itu berkata sumbangan tersebut juga termasuk pakej penjagaan komuniti makanan dan barangan keperluan untuk kumpulan yang kurang mendapat perhatian, termasuk petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, serta bantuan teknikal bagi menyokong keperluan pembelajaran pelajar terpencil.

Naib Presiden Korporat dan Pengurus Besar Pembuatan Ujian Pemasangan di Intel Corporation Robin Martin berkata sistem penjagaan kesihatan kini berada di bawah tekanan yang besar, terutamanya di Pulau Pinang dan Kedah, yang menyaksikan jangkitan kes COVID-19 terus meningkat.

“Sebagai sebuah syarikat yang telah berakar umbi di negara ini, kami komited untuk menyokong masyarakat Malaysia dan kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban kepada petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan kami yang berani,” tambah beliau.

Di samping itu, Intel juga telah menubuhkan Program Imunisasi COVID-19  Intel Malaysia (IMCIP), dengan sebuah pusat vaksinasi diwujudkan di kampus Intel Pulau Pinang bagi memberi vaksin bukan sahaja kepada pekerja Intel, tetapi juga dari 115 syarikat kejiranan dan syarikat pembekal masing-masing.

Melalui IMCIP, lebih 12,000 pekerja Intel dan pekerja kontinjen serta lebih 5,400 pekerja dari syarikat kejiranan di Pulau Pinang telah menerima vaksin sepenuhnya.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button