Berita

Ismail Sabri Fail Saman Terhadap Anina Saadudin

121views

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Anina Saadudin.

Saman itu difailkan atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi Facebook (FB) milik Anina bahawa Menteri Pertahanan itu tidak kompeten dalam menjalankan tugas ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ismail Sabri, 61, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu dalam kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 5 Mac lalu dengan menamakan Anina, 46, sebagai defendan tunggal.

Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Anina menerbitkan 13 kata-kata fitnah terhadap plaintif dan turut memuat naik video di Facebook miliknya.

Antara lain, defendan mendakwa menteri itu tidak kompeten menjalankan tugasnya ketika melaksanakan peraturan ketat untuk memerangi penyebaran COVID-19 menerusi PKP.

Menurut plaintif, 13 penyiaran kata-kata fitnah dibuat oleh Anina bermula 5 Februari hingga 3 Mac lalu, menerusi Facebooknya yang turut dikongsi oleh pengguna laman sosial itu.

Kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif adalah ‘boneka’ yang semata-mata melaksanakan perintah Perdana Menteri, tidak cekap dan kompeten dalam kerjayanya.

Menurut Ismail Sabri, laporan polis sudah dibuat terhadap defendan dan siasatan oleh pihak berkuasa dimulakan terhadap siaran fitnah itu, namun defendan tidak mengendahkan perkara berkenaan.

Akibat kata-kata fitnah itu, reputasi menteri berkenaan turut terjejas dan siaran fitnah yang dibuat defendan berniat jahat untuk mencederakan dan menjatuhkan nama baik serta imej plaintif.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain difikir sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa defendan dengan serta-merta memadamkan semua penyiaran fitnah mengenai plaintif di akaun Facebook defendan.

Turut difailkan, injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat penyataan fitnah menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan.

Ahli Parlimen Bera itu memfailkan permohonan berkenaan atas alasan defendan secara berterusan sejak awal Februari lalu, menyiarkan beberapa kata-kata fitnah terhadap plaintif.

Plaintif mendakwa walaupun laporan polis telah dibuat, defendan tidak menyesal dan terus menyiarkan 12 kata-kata fitnah terhadap plaintif pada 13 Februari, 17, 18 dan 19 Februari serta 23 Februari lalu.

Ia mengakibatkan surat tuntutan bertarikh 24 Februari lalu dihantar, antara lain memohon defendan dengan serta-merta memadamkan siaran fitnah itu.

Dakwa plaintif, defendan enggan membalas kepada tuntutan plaintif dan terus menyiarkan dua lagi kata-kata fitnah terhadap plaintif pada 3 Mac lalu.

Permohonan perintah injunksi itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, hari ini.

— BERNAMA

Source Link