Berita

Ismail Sabri seru rakyat doakan kemenangan Ziyad

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru rakyat untuk sama-sama berdoa agar kemenangan pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 melibatkan atlet negara Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo hari ini, kekal berpihak kepada Malaysia.

Menerusi catatan di laman Facebook, Ismail Sabri berkata beliau dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan jaguh lontar peluru para negara itu yang bertanding dalam sukan tersebut.

“Kepada Ziyad, anda tetap juara di hati kami, memecahkan rekod dunia adalah perkara yang luar biasa! Saya dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan anda! Sama-samalah kita berdoa agar kemenangan pingat emas kekal di tangan Malaysia #malaysiaboleh #letlogicprevail,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pingat emas yang dimenangi Muhammad Ziyad dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) ditarik selepas terdapat protes daripada kem Ukraine.

Dalam aksi itu, Ziyad telah memecahkan rekod dunia selepas melakukan lontaran 17.94 meter sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Namun kegembiraan itu tidak lama apabila kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Berdasarkan semakan di laman Paralimpik Tokyo, ketiga-tiga atlet terbabit mendapat status ‘DNS’ sekali gus menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi.

Kem Malaysia, Ecuador dan Australia kemudian telah membuat protes balas terhadap tindakan Ukraine itu tetapi difahamkan protes Ukraine masih diterima.

Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata Malaysia akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan itu esok.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button