Berita

Isu Audio : Polis Akan Rakam Keterangan Anwar-Zahid

121views

KLANG, 10 Apr — Polis akan merakam keterangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu rakaman audio yang didakwa mirip suara mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kertas siasatan mengenai perkara itu juga sudah dibuka.

“Prosedur operasi standard (SOP) apabila kertas siasatan dibuka, itulah yang perlu diambil (keterangan). Apabila tiba masanya, pegawai penyiasat akan merakamkan kenyataan, ia adalah proses siasatan.

“Sekiranya, kedua-dua pihak iaitu Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid merasakan diri teraniaya, mereka boleh tampil buat aduan supaya polis boleh buat siasatan dari sudut itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Taman Angkat AMANITA Kontinjen Selangor, di Bandar Puteri, dekat sini.

Beliau berkata, proses tindakan akan diambil satu persatu yang mana rakaman itu kini dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis ketulenannya.

Katanya, sekiranya sudah ada, hasil analisis itu akan diangkat kepada Jabatan Peguam Negara untuk klasifikasi kes serta tindakan lanjut.

“Sebolehnya, dalam apa juga kes kita cuba untuk dapatkan penyelesaian cepat dan siasatan segera,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini pihaknya menerima lapan laporan polis berhubung rakaman audio itu di seluruh negara.

“Rakaman audio itu akan dihantar ke Makmal Forensik bagi dianalisis perbandingan persamaan suara dalam rakaman audio berkenaan.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya

Pada 7 April lalu, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Presiden UMNO, dan Presiden PKR didedahkan di media sosial.

Ahmad Zahid dan Anwar sebelum ini menafikan ada kaitan dengan rakaman berkenaan.

Source Link