BeritaPolitik

Isu Korek Pasir Melaka : Idris, Nor Azman Sedia Berjumpa SPRM

MELAKA, 8 Okt — Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, bersedia bertemu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir laut.

Mereka bersedia menyalurkan maklumat itu bagi membuktikan dakwaan mereka, ada pihak tertentu dipercayai terbabit dalam penyelewengan menambak laut di pantai negeri ini.

Idris berkata, beliau tiada masalah berbuat demikian jika dikunjungi pegawai SPRM kerana mendakwa mempunyai bukti bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan.

“Saya bersedia pada bila-bila masa, tengah malam pun saya boleh jumpa pegawai SPRM kalau mereka ingin berjumpa saya di Melaka.

“Jangan ingat saya cakap suka-suka atau cakap kosong saja fasal korek pasir laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media hari ini melaporkan SPRM akan bertemu Idris bagi mendapatkan butiran berhubung dakwaan itu.

Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau dan Idris bertindak menarik balik sokongan kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali Isnin, lalu kerana tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan royalti pasir.

“Kami buat ini bukan kerana tidak dapat projek korek pasir atau seumpamanya, kami tidak ada kepentingan peribadi.

“Sebaliknya kami tidak sanggup melihat perkara itu berleluasa hingga mengancam masa depan anak cucu kita,” katanya.

Beliau mendakwa, ada pihak tertentu memusnahkan fail berkaitan projek mengorek pasir bagi mengelak penyelewengan dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, beliau yakin masih ada bukti yang boleh diperoleh pegawai SPRM jika melakukan siasatan menyeluruh berkaitan dakwaan itu.

Nor Azman mendakwa, SPRM harus menjalankan siasatan terhadap kenyataan Sulaiman sebelum ini, sebuah syarikat mempunyai modal berbayar yang mencukupi untuk melaksanakan projek menambak laut.

Sulaiman pada 22 September lalu dilaporkan berkata, syarikat berkenaan mempunyai modal berbayar RM1 juta dan melebihi syarat minimum untuk pelaksanaan projek menambak laut secara inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Kata Sulaiman, modal berbayar itu melebihi syarat minimum untuk syarikat mengemukakan permohonan projek penswastaan, iaitu RM250,000.

Syarikat berkenaan sudah menjelaskan bayaran RM29.3 juta semasa menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri, katanya.

Sebelum itu Ketua Pembangkang Melaka yang juga bekas ADUN Bukit Katil, Adly Zahari dilaporkan mempersoalkan tanah seluas kira-kira 476 hektar (kira-kira 1,190 ekar) diberikan kepada syarikat berkenaan untuk ditambak.

Sulaiman berkata, kelulusan yang diberikan kepada syarikat berkenaan munasabah kerana ia bertujuan membina pelabuhan.

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button