info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Jabatan Perikanan Terengganu Sita Lapan Bubu Ikan, Pukat Pari

54views

KUALA TERENGGANU, 9 Jun  — Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menyita lapan unit bubu ikan dan satu set pukat pari dalam operasi yang dijalankan di kawasan Taman Laut Pulau Kapas dan Pulau Redang, semalam.

Pengarahnya Ruzaidi Mamat berkata operasi selama tiga jam bermula 10 pagi itu disertai 25 anggota penguat kuasa Cawangan Taman Laut, Pengurusan dan Perlindungan Sumber (CTLPPS) Negeri Terengganu.

Katanya, hasil operasi berjaya mengesan enam bubu ikan dan satu set pukat pari kira-kira 0.4 batu nautika dari Pulau Kapas manakala dua lagi bubu ikan dikesan kira-kira 0.4 batu nautika dari Pulau Redang.

“Penggunaan bubu ikan dan pukat pari adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di kawasan Taman Laut. Pemilik bubu ikan dan pukat pari itu belum lagi dikenal pasti setakat ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Penggunaan bubu ikan dan pukat pari adalah dilarang di Taman Laut kerana ia boleh menjejaskan ekosistem sumber marin dan turut mengancam keselamatan penyu yang berisiko terperangkap dalam peralatan itu.

Ruzaidi berkata operasi yang dijalankan itu juga adalah susulan laporan yang diterima pihaknya baru-baru ini mengenai kematian seekor ibu penyu yang dipercayai dibunuh oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana mahu mencuri telurnya di perairan Pulau Kapas.

Pada 26 Mei lepas, Bernama melaporkan penemuan bangkai penyu Agar (Green Turtle) betina dalam keadaan terapung dengan dua kesan kelar di badan penyu tersebut.

Satu kelaran dikesan di bahagian bawah badan penyu dan satu lagi di bahagian lehernya manakala semua telur penyu tersebut hilang menyebabkan Persatuan Pemuliharaan Pulau Kapas menggesa siasatan dijalankan untuk mencari dalang sebenar kejadian kejam itu.

— BERNAMA

Source link