BeritaJenayah

Jabatan Perikanan Terengganu tahan 27 nelayan langgar syarat lesen

KUALA TERENGGANU, 6 Sept — Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menahan 27 nelayan kerana melanggar syarat lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang 12 batu nautika dari Kuala Merchang dekat Marang awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Ruzaidi Mamat berkata 22 nelayan tempatan dan lima warga Myanmar yang menaiki dua vesel kelas C (pukat jerut dan pukat tunda) ditahan antara 1 hingga 4.30 pagi.

“Selain itu, kita turut menyita dua vesel tersebut dan tangkapan 4,000 kilogram hasil laut dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM3 juta.

“Kesemua kru serta dua vesel yang berpangkalan di Kuala Besut dan Kuantan, Pahang itu dibawa masuk ke Pangkalan Perlindungan Sumber Pulau Kambing di sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penahanan itu hasil operasi pemantauan, pengawalan dan survelan (MCS) dijalankan oleh Unit Perlindungan Sumber Perikanan Terengganu di kawasan perairan Pulau Kapas hingga Dungun.

Ruzaidi berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan kompaun.

“Pemantauan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa dan kami tidak sesekali berkompromi dengan mereka yang tidak mematuhi Akta Perikanan 1985,” katanya.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button