Berita

‘JAGADrone’ Pantau Keselamatan UTM

406views

JOHOR BAHRU, 27 April  — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) dikenali sebagai ‘JAGADrone’ untuk aplikasi keselamatan bagi sistem pemantauan dan rondaan kampus.

UTM dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, JAGADrone dijangka menjadi responden pertama kepada sebarang kecemasan di kampus yang dikeluarkan daripada amaran panik, dicetuskan oleh aplikasi pada peranti mudah alih yang dibawa pengawal bertugas atau untuk mengesan pencerobohan di sempadan kampus.

“Sistem JAGADrone yang dibangunkan bertujuan merealisasikan visi keselamatan kampus masa depan dengan menawarkan penyelesaian keselamatan kampus yang komprehensif.

“Keupayaan tambahan dalam bentuk pengawasan udara dan rondaan dengan menggunakan drone ini sangat berguna, khususnya untuk kampus besar seperti UTM yang mempunyai lokasi yang sukar dijangkau dan berisiko tinggi,” menurut universiti itu.

UTM juga memberitahu JAGADrone dibangunkan menerusi Program ICONIC di bawah Prof Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim daripada Fakulti Kejuruteraan UTM dan diketuai oleh Pensyarah Kanan fakulti berkenaan Dr Mohd Nazri Mohd Nasir.

— BERNAMA

Source link