info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

JAIM Siasat Klip Video Ritual Sesat ‘Agama Melayu’

94views

MELAKA, 31 Jan — Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang menyiasat klip video dipercayai aktiviti pemujaan kumpulan tertentu yang dikatakan dilakukan di Pulau Besar, Umbai, Jasin, di sini.

Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat, berkata setakat ini pemantauan dilakukan pegawai penguat kuasa jabatan itu di pulau berkenaan belum pernah terjumpa dengan kumpulan terbabit.

Beliau percaya kumpulan itu hadir di pulau berkenaan pada waktu tertentu, semata-mata untuk menjalankan aktiviti yang dikatakan terkeluar daripada landasan agama.

“Sehubungan itu, saya minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehadiran kumpulan ini atau kumpulan lain yang menjalankan aktiviti seumpama itu supaya segera melaporkannya kepada JAIM.

“Kerjasama ini amat penting kerana pegawai penguat kuasa kita (JAIM) tidak boleh sentiasa berada di pulau ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Klip video berdurasi lapan minit lima saat itu tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp, dengan memaparkan beberapa individu melakukan upacara paluan gong dipercayai ritual ajaran tertentu di pulau yang didakwa Pulau Besar.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan meneliti tindakan sewajarnya berhubung isu agama baharu dikenali sebagai ‘Agama Melayu’ yang menolak ajaran Islam yang dibawa seorang individu.

Katanya, daripada aspek penguatkuasaan, perkara itu sedang disiasat oleh pihak berkuasa agama bagi tindakan selanjutnya.

Source Link