info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Jangan Palsukan Dokumen Sokongan Untuk Rentas Negeri

89views

KUANTAN, 8 Nov — Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak memalsukan dokumen sokongan bagi mendapatkan pelepasan pihak berkuasa untuk melakukan perjalanan merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mana-mana individu yang didapati memalsukan dokumen berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana cuba memperdayakan pihak polis.

“Kita akan membuat penilaian sebelum memberi pelepasan dan sedia untuk memudah cara individu yang memerlukan kebenaran, namun kami mendapati terdapat percubaan untuk memalsukan dokumen sokongan yang dijadikan justifikasi kepada polis bagi mendapatkan pelepasan merentas negeri.

Justeru, saya ingin memberi amaran supaya tidak ada mana-mana pihak sengaja memalsukan dokumen tersebut, kita bimbang selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bilangan individu yang berbuat demikian semakin bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi ceramah di Program Sepakat@Komuniti Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata bermula 14 Okt lepas sehingga semalam pihaknya telah menerima sebanyak 5,618 permohonan merentas negeri dan daripada jumlah itu sebanyak 613 permohonan ditolak susulan alasan yang meragukan dan tidak munasabah, antaranya ingin melihat rumah yang lama ditinggalkan.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan PKPB, Mohd Noor berkata kawalan sempadan Pahang dan Terengganu membabitkan Daerah Kuantan dan Kemaman, akan dipertingkat dan diperketatkan.

“Kita akan bekerjasama dengan ibu pejabat polis daerah berkenaan untuk mempertingkatkan pemeriksaan dan kerjasama dalam mengekang penularan COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

Source link