Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaJangan politikkan isu sekuriti makanan

Jangan politikkan isu sekuriti makanan

TAPAH, 6 Jun (Bernama) — Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan supaya semua pihak tidak mempolitikkan isu bekalan makanan susulan saranan kerajaan negeri mengalakkan rakyat untuk menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri.

Beliau berkata parti politik seharusnya memperjuang dan menggalakkan perkara yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan isu bekalan dan sekuriti makanan tidak terus dipolitikkan.

“Ini perlu difahami oleh semua parti politik agar mengubah cara hidup kita dengan perkara seperti itu. Sedangkan saya telah berucap perkara ini sejak saya menjawat jawatan Exco dua tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Moh Mengopi di Pasar Awam di sini hari.

Menurut Saarani, beliau tidak mengarahkan rakyat yang tinggal di pangsapuri yang tidak mempunyai tanah bercucuk tanam atau menternak haiwan, namun mengakui bahawa amalan bercucuk tanam di kawasan rumah merupakan budaya orang Cina khususnya di Kampung-kampung Baru.

Malah, katanya sayuran seperti sawi, bayam, petola mudah didapati ditanam penduduk di kampung tersebut.

“Saya pun pelik ada parti politik yang mempertikaikan kenyataan dan mengalih perhatian isu sebenar kerana jika mereka menonton rakaman penuh ketika saya berucap, saya tidak menyebut pun perkara sedemikian.

Selasa lepas, kerajaan Perak menyarankan supaya rakyat di negeri ini menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini namun ia menerima kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin politik.

Sementara itu, mengenai masalah paras air yang semakin surut di Empangan Bukit Merah akibat ketiadaan hujan sejak sebulan lepas, beliau berkata kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan bantuan kerajaan Pusat.

“Kita sudah maklum kerajaan Pusat untuk bantu kita mengambil air dari Sungai Perak dan bawa ke kolam tadahan Bukit Merah barangkali untuk kegunaan industri. Kita masih belum ada penilaian kos tapi sudah pasti kosnya tinggi.

“Jabatan teknikal, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Air Perak (LAP) sedang melakukan kajian terperinci kerana memang ada keperluan untuk menyalurkan air ke Bukit Merah dan semoga masalah pengairan air dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.

Paras air di empangan itu susut dengan ketara menyebabkan penduduk terutamanya petani dan pesawah terjejas malah Pulau Orang Utan di Bukit Merah Laketown terpaksa ditutup baru-baru ini ekoran bot tidak dapat beroperasi.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular