info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Janji Akan Bagi Kerjasama Penuh, Pengasas Sugarbook Tidak Ditahan Reman

116views

SHAH ALAM, 18 Feb — Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan polis untuk menahan reman pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman itu digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Peguam mewakili lelaki itu, Foong Cheng Leong, berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat, menolak permohonan berkenaan selepas anak guamnya memberi aku janji akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata lelaki tempatan berusia 34 tahun berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada jam 4.30 petang semalam di sebuah kondominium di ibu negara.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 372(1)(d) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” katanya.

Fadzil memaklumkan hingga kini, sebanyak 74 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes itu.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia, menyusuli India dan Indonesia bagi negara yang ada bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook yang didakwa menyediakan platform mencari teman janji temu itu.

— BERNAMA

Source Link