Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaJDT II lonjak tangga teratas Liga Premier

JDT II lonjak tangga teratas Liga Premier

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — Pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berjaya melonjak ke tangga teratas Liga Premier selepas membenam PDRM FC 5-1 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor malam ini.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu tanpa sebarang jaringan, meskipun PDRM dilihat mempunyai peluang cerah untuk mendahului perlawanan.

JDT II memecah kebuntuan selepas berhasil membuat jaringan pada babak kedua perlawanan menerusi pemain import Bienvenido Morejon Maranon pada minit ke-46.

Tidak menunggu lama, giliran Mohamed Syamer Kutty Abba pula menanduk masuk bola pada minit ke-55, sekali gus menambah jaringan buat pasukan kendalian Mariano Raul Echeverria itu.

Serangan tanpa henti pasukan JDT II terus menambah derita PDRM, apabila Fernando Rodriguez Ortega menghadiahkan gol ketiga pada minit ke-66 dan Gabriel Nistelrooy Tamin selang dua minit kemudian, menjadikan kedudukan 4-0.

PDRM yang dilihat tertekan bagaimanapun berjaya melepasi pertahanan dan menjaringkan gol menerusi Martin Adamec pada minit ke-72, sebelum JDT sekali lagi menembusi gawang hasil jaringan Maranon pada minit ke-88.

Sementara itu, UiTM FC masih gagal mencipta sebarang kemenangan dalam kancah Liga Premier apabila tewas di tempat sendiri setelah dikalahkan Kuching City FC 0-2.

Pasukan pelawat memperoleh gol pada minit ke-24 melalui jaringan Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman.

Kuching terus menguasai padang apabila pemain gantiannya Amir Amri Salleh meledak gol kedua pada saat-saat akhir lima minit masa tambahan perlawanan.

Sementara itu dalam aksi tunggal Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC tewas 1-2 di tangan Sri Pahang FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras di sini malam ini.

Sri Pahang FC membuka jaringan menerusi Nor Azam Azih pada minit ke-32 sebelum Manuel Hidalgo menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-78.

KL City FC namun berhasil menjaringkan gol tunggal pasukan menerusi jaringan Paulo Josué pada minit ke-86.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular