Berita

Jenazah Diusung Kali Kedua Ke Hospital Untuk Bedah Siasat

135views

BACHOK, 9 Mac — Seorang lelaki yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan malam tadi sepatutnya dikebumikan jam 11 pagi ini, namun jenazahnya terpaksa diusung semula dari tanah perkuburan ke rumahnya di Kampung Pak Badol, di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham Che Azhar Che Lah, 51, terpaksa dibawa semula ke hospital dan menjalani bedah siasat dipercayai disebabkan kesilapan laporan hospital mengenai punca kematian mangsa.

Difahamkan, pihak hospital menyatakan punca kematian akibat serangan jantung dan tidak memaklumkan kemalangan menyebabkan timbul salah faham.

Adik arwah, Cik Siti Aishah, 42, berkata surat permit kubur selain urusan memandi serta mengkafankan jenazah diuruskan oleh pihak hospital, namun sebaik semua urusan selesai untuk pengebumian, timbul kekeliruan untuk membuat laporan kepada polis.

“Jenazah arwah abang sampai di rumah jam 9 pagi dan diusung oleh orang kampung ke madrasah Tahfiz An-Nabail Adzim Pak Badol Muda untuk solat jenazah dan dikebumikan. Namun salah seorang daripada adik datang memberitahu supaya menangguhkan solat jenazah kerana perlu menunggu pihak polis datang membuat siasatan.

“Pada ketika itu, saya sudah berasa pelik, namun kami sekeluarga akur kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan disebabkan itu jenazah terpaksa dibawa balik semula ke rumah kerana tidak mahu merumitkan keadaan.

“Lebih menyedihkan lagi, arwah terpaksa dibawa semula ke hospital berkenaan dan perlu menjalani bedah siasat sebaik polis hadir ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Tiga Pak Badol, hari ini.

Menceritakan kejadian malam tadi, Cik Siti Aishah berkata, arwah abangnya keluar jam 9.45 malam tadi dengan menunggang motosikal untuk ke tempat pembuangan sampah yang terletak 20 meter dari rumah.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terdengar bunyi dentuman kuat lalu bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut melihat abang terbaring berlumuran darah,” katanya sambil menambah arwah abangnya dibawa ke sebuah hospital di Pasir Puteh dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.12 pagi tadi.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan mendoakan semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Insya-Allah selepas segala urusan selesai, arwah akan segera dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serdang Muda Pak Badol,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut itu.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat Abdul Aziz Kadir turut hadir menziarah jenazah.

Source Link