Jepun gubal rang undang-undang menyokong penggunaan bahan api ammonia, hidrogen

TOKYO, 21 Dis (Bernama) — Jepun sedang menggubal rang undang-undang untuk menyokong industri yang terlibat dalam pengeluaran dan pembekalan hidrogen dan ammonia sebagai sumber tenaga menjelang 2030, lapor Sputnik.

Menurut akhbar Jepun Yomiuri pada Rabu yang memetik sumber kerajaan, rang undang-undang itu dilaporkan akan diserahkan kepada parlimen untuk semakan menjelang 31 Mac 2023.

Dokumen itu mengambil kira trend global untuk mengurangkan penggunaan bahan mentah berasaskan karbon dan beralih kepada hidrogen dan ammonia yang bukan sumber gas rumah hijau, menurut laporan itu.

Sokongan di peringkat negeri diperlukan untuk perusahaan yang terlibat dalam pengeluaran dan pembekalan hidrogen dan ammonia selain pembangunan infrastruktur berkaitan.

Kerajaan khususnya akan membayar perbezaan harga antara karbon dan hidrogen dan ammonia mesra alam kepada perusahaan selama 15 tahun, selain akan membina kemudahan penyimpanan di lapan lokasi dan saluran paip dalam tempoh 10 tahun.

Kerajaan menganggarkan pembangunan rangkaian bekalan ammonia dan hidrogen memerlukan pelaburan kira-kira tujuh trilion yen (AS$53 bilion) daripada syarikat swasta dan kerajaan dalam tempoh 10 tahun datang, menurut laporan itu.

Jepun dilaporkan menetapkan sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kepada sifar menjelang 2050.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button