Jepun harap kerjasama kukuh dengan Malaysia berterusan di bawah kepimpinan baharu

GEORGE TOWN, 14 Dis (Bernama) — Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Kawaguchi Yoshiyasu berharap hubungan antara Jepun dan Malaysia yang telah lama terjalin akan terus diperkukuh di bawah kepimpinan baharu di negara ini.

Harapan kepada kerjasama selanjutnya di antara kedua-dua negara itu dinyatakan susulan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia.

“Saya pasti bahawa hubungan ini akan terus maju dan berterusan. Apabila menyentuh mengenai kerjasama, ia tidaklah satu arah.

“Saya berharap Jepun dan Malaysia akan terus meningkatkan ikatan ekonominya yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Kepujian Menteri Luar 2022 kepada Penasihat Kehormat Persatuan Persahabatan Malaysia-Jepun Perak Datuk Tomiyasu Ushiama di sini hari ini.

Menurut data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jepun adalah antara sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia dari segi projek pembuatan dilaksanakan, dengan mencatatkan nilai pelaburan berjumlah US$688 juta (US$1=RM4.405) untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Dari segi perdagangan, Jepun menyumbang sebanyak 6.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia iaitu peningkatan 49.5 peratus tahun ke tahun kepada RM17.11 bilion pada September 2022.

Mengulas mengenai anugerah kepujian itu, Yoshiyasu berkata anugerah berkenaan mengiktiraf sumbangan Ushiama sejak sekian lama dalam mendukung hubungan di antara Malaysia dengan Jepun.

Ushiama dalam ucapannya pula berkata, beliau berbesar hati dengan penghargaan yang diberikan.

“Saya dihantar ke Ipoh dari Sagami, Jepun pada 1969 untuk mewujudkan usaha sama dalam menghasilkan produk getah melalui penubuhan Sagami Industries Sdn Bhd.

“Pada 1981, Persatuan Malaysia-Jepun Pulau Pinang cawangan Ipoh telah ditubuhkan dan dinamakan sebagai Persatuan Persahabatan Malaysia-Jepun Perak pada 1986 yang bertujuan meningkatkan lagi persefahaman dan persahabatan bersama di antara kedua-dua negara,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button