Berita

JKM Hulur RM300 Sebulan Kepada Keluarga Susah, Anak Sakit

84views

IPOH, 17 Jun — Kisah sebuah keluarga yang tular berikutan kesusahan hidup dan penyakit yang dihadapi dua anak mereka, mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan memberikan bantuan bulanan sebanyak RM300 bermula Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata pihak JKM Kinta akan memproses permohonan untuk keluarga tersebut setelah membuat lawatan serta siasatan dua hari lalu.

“Proses permohonan akan dilakukan JKM dan bantuan bulanan sebanyak RM300 kami jangkakan akan diberikan bermula bulan Julai ini.

“Sebelum ini JKM juga ada memberi bantuan bulanan sebanyak RM150 kepada anaknya yang kurang upaya (OKU),” katanya selepas membuat lawatan hasil laporan Bernama di rumahnya di Kampung Tengku Hussein, Manjoi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat pelbagai bantuan daripada pihak JKM bagi masyarakat yang memerlukan seperti untuk pesakit terlantar, bantuan orang tua, bantuan OKU yang terbahagi kepada dua iaitu OKU bekerja dan tidak bekerja dan pelbagai lagi.

Wan Norashikin berharap agar bantuan ini dapat meringankan beban keluarga tersebut untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan dapur.

Bernama melaporkan pada 15 Jun lalu, sepasang suami isteri memerlukan bantuan kewangan dan bekalan makanan berikutan kehilangan punca rezeki sejak Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) selain perlu menanggung dua anak yang mengalami masalah kesihatan serius.

Julia Mohd Ali, 34, yang menghidap penyakit saraf belakang berkata keluarganya itu tiada punca pendapatan selepas dia jatuh sakit sejak Mac lalu manakala suaminya, Mohamad Syamrezlan Misak, 22, buruh kontraktor sambilan tidak boleh bekerja kerana dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Manjoi pada 6 hingga 19 Jun ini.

— BERNAMA

Source link