info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Johor Dapat Kelulusan Tubuh JETCO

33views

JOHOR BAHRU, 21 Okt — Penubuhan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura mendapat kelulusan daripada Kabinet hari ini.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata penubuhan JETCO merupakan salah satu daripada Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang diumumkan pada Jun lepas.

“Alhamdullillah, saya telah dimaklumkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa Jemaah Menteri pada hari ini meluluskan penubuhan JETCO di Singapura.

“Oleh itu, penubuhannya bakal menerobos naratif baharu ekonomi, kebudayaan dan pelancongan pasca COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hasni berkata selepas ini JETCO Singapura akan bergiat aktif dalam usaha membawa masuk pelaburan, mempromosi sektor pelancongan dan kebudayaan di antara Johor serta Singapura.

“Selain itu, JETCO Singapura akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan pusat serta kerajaan negeri Johor dalam usaha menjaga kebajikan rakyat Johor di Singapura,” katanya.

Menurut beliau, penubuhan JETCO Singapura merupakan usaha Johor dalam mendepani cabaran global pasca COVID-19.

“Semoga usaha ini dapat mengembalikan Johor sebagai negeri yang paling kompetitif dan berbudaya dalam rantau ini,” katanya.

— BERNAMA

Source link