Uncategorized

Johor harap KDN kaji semula syarat ketat MM2H

ISKANDAR PUTERI, 19 Sept — Kerajaan Johor berharap agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mengkaji semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad berkata syarat baharu berkenaan dilihat akan memberi kesan kepada Johor, sekali gus mengharapkan agar syarat lama dapat dikekalkan.

Beliau berkata perkara berkenaan turut disuarakan kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi perbincangan pada tengah hari tadi.

“Keadaan di Johor berbeza kerana kita berjiran dengan Singapura dan program MM2H adalah satu daripada kekuatan yang banyak memberi faedah dan manfaat kepada kita.

“Jadi, kita berharap KDN bukan sahaja dapat mengkaji semula syarat itu, tetapi juga mencapai satu keputusan dengan segera. Johor amat terkesan dengan apa yang telah diumumkan (syarat baharu) dan kalau boleh syarat lama itu dikekalkan dan peserta tidak terikat dengan syarat baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penyerahan 46 unit rumah bagi penempatan semula penduduk Kampung Ladang Darat ke Kampung Pendas Baru, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai antara perkara yang dibincangkan menerusi lawatan Tengku Zafrul ke Johor selama dua hari bermula semalam.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar baru-baru ini menzahirkan kekecewaan kepada KDN kerana enggan menyemak semula syarat ketat MM2H.

Baginda bertitah Johor adalah antara destinasi popular MM2H selain program itu turut menyumbang kepada pendapatan negeri.

Pada 11 Ogos lepas, KDN mengumumkan MM2H, yang sebelum ini dibekukan, diaktifkan semula dengan penambahbaikan dibuat ke atas dasar dan syarat permohonan bagi tujuan mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi.

Sementara itu, Hasni berkata kerajaan negeri turut menyuarakan hasrat kepada Tengku Zafrul untuk memperluaskan agenda pembekalan makanan dan kesediaan untuk menjadi pembekal produk makanan kepada negara luar.

“Kita telah menerima peruntukan RM35 juta menerusi belanjawan tahun lepas dan akan meminta tambahan belanjawan pada tahun depan untuk menjayakan agenda ini,” katanya.

Hasni berkata Tengku Zafrul juga antara lain turut bersedia untuk melihat semula beberapa insentif kepada sektor elektronik, pembuatan dan petrokimia di negeri ini berikutan keadaan ekonomi yang lembab susulan pandemik COVID-19.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button